Pusat Kokurikulum terima kunjungan hormat TUDM
Berita dan gambar Nur Khairiel Anuar
SINTOK, 8 Mac 2026: Satu kunjungan hormat daripada delegasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diadakan di Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 5 Mac lalu bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Delegasi TUDM diketuai oleh Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara, Kolonel Ahmad Rashidi Ithnin bersama PS 2 Tadbir, Mejar Norhaslinda Yahaya serta beberapa pegawai TUDM yang lain telah disambut Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im Ahmad.
Dr. Za’im berkata, kunjungan itu bertujuan mengadakan perbincangan berkaitan hala tuju program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Tentera Udara (PALAPES Udara) di UUM, selain meneroka potensi kerjasama strategik antara TUDM dan UUM dalam memperkasa pembangunan kepimpinan, disiplin serta kompetensi pelajar melalui program kokurikulum berteraskan ketenteraan.
Beliau turut menyatakan komitmen universiti dalam menyokong pembangunan program PALAPES sebagai platform penting dalam melahirkan graduan berdisiplin, berdaya tahan dan memiliki semangat patriotisme yang tinggi.
Pertemuan ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama antara TUDM dan UUM, khususnya dalam memperkasakan pelaksanaan program PALAPES Udara serta pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar universiti.



