Campus

Program Memasak Bubur Lambuk Sri Sintok meriahkan Ramadan RMC dan JHEPPI

Gambar Farhana Abdul Wahab

SINTOK, 10 Mac 2026: Aktiviti memasak Bubur Lambuk Sri Sintok terus menjadi tradisi tahunan warga kerja Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI) dalam menyemarakkan sambutan Ramadan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Aktiviti berkonsepkan gotong-royong itu melibatkan penyertaan staf daripada kedua-dua jabatan yang bersama-sama menyediakan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada warga kerja sebagai juadah berbuka puasa.

Seawal pagi, peserta telah berkumpul bagi memulakan proses penyediaan bahan masakan termasuk memotong bawang, menyediakan rempah ratus serta mengacau bubur lambuk yang dimasak secara bergilir-gilir sehingga siap. Suasana ceria dan penuh semangat jelas kelihatan apabila setiap staf memainkan peranan masing-masing bagi memastikan aktiviti berjalan lancar.

Ketua Penolong Pengarah Kanan RMC, Farhana Abdul Wahab berkata, aktiviti ini dianjurkan sebagai salah satu inisiatif untuk menyemarakkan lagi suasana Ramadan di kampus selain memberi peluang kepada warga kerja untuk berinteraksi dalam suasana santai di luar persekitaran kerja rasmi.

Selain itu, menurutnya, aktiviti ini turut menjadi platform untuk memupuk nilai kerjasama, semangat sukarelawan serta memperkukuhkan hubungan silaturahim antara staf daripada pelbagai unit di bawah RMC dan JHEPPI.

Bubur lambuk yang siap dimasak kemudiannya diagihkan kepada warga kerja sebagai juadah berbuka puasa, sekali gus berkongsi keberkatan bulan Ramadan.

Penganjuran aktiviti seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu tradisi tahunan yang bukan sahaja memeriahkan sambutan Ramadan, malah mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga kerja UUM. – Rasimah Md Radzi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button