180 pelajar baharu UUM jalani MSK, Ikrar
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 12 Mac 2026: Seramai 180 pelajar baharu melafaz ikrar sebagai pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diadakan secara maya dan bersemuka pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu dan Bicara Heart to Heart bersama Naib Canselor sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Semester Kedua Ambilan Mac A252 yang berlangsung di Auditorium Pusat Penginapan Pelajar (SAC), semalam.

Seramai 45 pelajar baharu yang hadir secara bersemuka, manakala 135 lagi secara maya (online).
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi simbolik permulaan perjalanan akademik pelajar di UUM, malah turut memperlihatkan kepelbagaian latar belakang mahasiswa apabila kohort baharu ini merangkumi pelajar tempatan serta antarabangsa dari Uzbekistan, Thailand dan Indonesia.
Dalam majlis itu pelajar melafazkan ikrar sebagai komitmen untuk mematuhi peraturan universiti dan mengekalkan integriti sebagai pelajar, manakala sesi lafaz ikrar tersebut diketuai oleh Muhammad Hamiz Mohammad Arif bersama empat wakil pelajar antarabangsa iaitu seorang dari Uzbekistan, dua dari Thailand dan seorang dari Indonesia.

Watikah ikrar kemudiannya diserahkan kepada Yang Menjalankan Fungsi Pendaftar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi dengan disaksikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ram Al Jaffri Saad.
Turut diadakan sesi Bicara Heart to Heart oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha yang memberi peluang kepada pelajar mendengar amanat serta pandangan kepimpinan universiti secara lebih dekat dalam suasana santai dan terbuka.

Dr. Ahmad Martadha berharap pelajar dapat memanfaatkan peluang menimba ilmu di UUM dengan memberi tumpuan kepada pengajian serta bukan sahaja memperoleh ijazah malah membawa pulang pengalaman dan kenangan bermakna sepanjang berada di universiti.
Beliau juga menggalakkan pelajar memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan di kampus termasuk fasiliti sukan serta menyertai aktiviti kokurikulum, kelab dan persatuan selain berinteraksi dan menjalinkan hubungan dengan pelajar tempatan serta pelajar antarabangsa lain bagi memperkayakan pengalaman kehidupan kampus.
Majlis ini dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), UUM sebagai sebahagian daripada pengisian Minggu Suai Kenal bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus. -Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Pelatih dari Politeknik Metro Tasek Gelugor)



