Campus

Ukhuwah Ramadan: Warga SAPSP dan keluarga perkukuh silaturahim di Majlis Berbuka Puasa 2026

Berita dan gambar Omar Ibrahim

SINTOK, 15 Mac 2026: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa SAPSP 2026 dalam suasana yang cukup meriah dan penuh kekeluargaan bertempat di EDC-UUM, Jumaat lalu.

Majlis tahun ini menghimpunkan barisan pensyarah, staf pentadbiran, serta ahli keluarga masing-masing bagi menyemarakkan lagi semangat ukhuwah, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim melangkaui sempadan waktu pejabat dalam suasana yang santai dan harmoni.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad yang menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pusat pengajian atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan pelbagai aktiviti akademik dan kemasyarakatan.

Beliau turut menghargai kehadiran ahli keluarga yang menjadi sistem sokongan utama kepada staf.

“Penganjuran Majlis Iftar ini mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai ukhuwah yang sentiasa dipupuk dalam kalangan warga SAPSP.

“Kehadiran ahli keluarga pada petang ini membuktikan bahawa kita adalah satu keluarga besar yang saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Agenda diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abd Manaf. Sesi ini diadakan sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan dan kesejahteraan buat seluruh warga pusat pengajian serta keluarga yang hadir.

Penganjuran majlis yang melibatkan ahli keluarga ini dilihat sebagai inisiatif yang sangat positif dalam membina budaya kerja yang seimbang dan inklusif. Selain menyemarakkan semangat Ramadan, ia memberi peluang kepada ahli keluarga untuk mengenali rakan sekerja staf dengan lebih dekat.

Majlis berakhir dengan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi terus menyuburkan semangat kekeluargaan dan keharmonian yang berterusan dalam kalangan warga SAPSP.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button