UUM cungkil bakat pembangun permainan digital dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Sintok
Gambar dan berita oleh: Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat
SINTOK, 3-4 Mac 2026: Satu program Penghasilan Permainan Digital menggunakan platform Unity 3D Siri III telah berjaya dianjurkan di bawah tajaan Geran Dana Inovasi Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026 pada 3 dan 4 Mac lalu.
Program ini melibatkan penyertaan 30 orang pelajar dari Sekolah Menengah Bandar Baru Sintok yang berpeluang mempelajari asas pembangunan permainan digital.

Program yang berlangsung di Makmal Komputer Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang proses pembangunan permainan digital, di samping meningkatkan kemahiran teknikal serta menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar.
Sepanjang program berlangsung, pelajar didedahkan dengan proses pembangunan permainan bermula daripada pembinaan idea, reka bentuk persekitaran permainan, pembangunan karakter sehingga permainan tersebut boleh dimainkan dengan lancar menggunakan perisian Unity.

Program ini turut menampilkan perkongsian daripada CEO Raxbit Sdn. Bhd. Encik Rafiq Sharman bin Khamis @ Roslee, yang sebelum ini juga terlibat dalam program yang sama. Beliau berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai perkembangan industri pembangunan permainan digital dan peluang kerjaya dalam bidang teknologi kreatif kepada para pelajar.
Selain itu, para pelajar turut menjalani latihan praktikal bagi membolehkan mereka mencuba sendiri proses menghasilkan permainan digital. Sepanjang sesi latihan tersebut, para pelajar dibimbing oleh tenaga pengajar yang berpengalaman iaitu Dr. Abdul Syafiq bin Bahrin, Dr. Mohd Fitri bin Yusoff, Dr. Valarmathie a/p Gopalan serta Prof. Ts. Dr. Juliana Aida binti Abu Bakar. Kesemua tenaga pengajar ini adalah dari SCIMPA.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Encik Anuar bin Osman yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para pelajar.
Menurut beliau, “Melalui program ini, para pelajar bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran teknikal dalam penghasilan permainan digital, malah dapat meningkatkan kreativiti serta kemahiran berfikir secara kritis dalam menghasilkan idea permainan yang unik dan menarik. Program seperti ini diharap dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus meneroka bidang teknologi digital serta melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam industri pembangunan permainan pada masa hadapan.”
Program ini diharap dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah terhadap bidang teknologi kreatif dan pembangunan permainan digital, selaras dengan usaha Universiti Utara Malaysia dalam memperkasa pemindahan ilmu kepada komuniti serta menggalakkan minat generasi muda terhadap bidang teknologi dan inovasi.



