UUM perkasa TVET melalui Pra Kursus Pendedahan Persijilan Kemahiran Malaysia
Berita dan gambar Dr. Wahida Yaakub
KUALA LUMPUR. 26 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pengurusan TVET UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) terus mengukuhkan peranannya sebagai penyelaras strategik pembangunan pendidikan kemahiran menerusi penganjuran Pra Kursus Bimbingan Pendedahan Awal dan Kepentingan Persijilan Kemahiran Malaysia.
Program ini memberi pendedahan menyeluruh berkaitan kepentingan pengiktirafan Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM), kaedah pensijilan, standard NOSS, Akta 652 serta laluan pensijilan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) berasaskan pengalaman kerja.

Pengarah Pengurusan TVET UUMKL, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad berkata, pendekatan PPT ini bertujuan membuka peluang kepada individu berpengalaman untuk mendapatkan pengiktirafan formal terhadap kemahiran yang dimiliki, sekali gus meningkatkan mobiliti kerjaya, kebolehpasaran serta nilai tambah dalam industri tanpa melalui laluan latihan konvensional sepenuhnya.
Sejajar dengan itu, menurutnya, program ini menjadi platform persediaan awal ke arah penganjuran bengkel susulan yang akan memberi fokus kepada pelaksanaan dan bimbingan proses PPT secara lebih terperinci, khususnya dalam aspek dokumentasi, penilaian dan pemetaan kompetensi.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Pengurusan TVET UUM dalam menyelaras, memudah cara dan memperluas akses kepada pensijilan kemahiran secara lebih inklusif dan strategik, selaras dengan keperluan industri serta agenda pemerkasaan TVET negara.



