Education

Dari Hati Ke Hati: Kaunseling kelompok santuni anak yatim

Gambar Pusat Kaunseling

CHANGLUN, 30 Mac 2026: Pusat Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan Program University Social Responsibility (USR) sekitar Changlun bagi membantu komuniti setempat khususnya golongan asnaf dan anak yatim yang berlangsung di Pusat Jagaan Anak Yatim Baitul SABA dengan penglibatan seramai 10 anak yatim.

Pegawai Psikologi, Noorul ‘Adilah Che Hamzah berkata, program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial universiti untuk menyantuni masyarakat serta memberi sokongan psikososial kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, selain menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas, program ini turut melibatkan penglibatan aktif kaunselor pelatih dengan pengisian utama program memberi fokus kepada aktiviti kaunseling kelompok yang dikendalikan oleh kaunselor pelatih bagi membantu peserta mengenali potensi diri serta meningkatkan keyakinan diri.

Atur cara program dimulakan dengan sesi pengenalan dan aktiviti icebreaking bagi mewujudkan suasana yang lebih mesra dan selesa antara kaunselor pelatih dan peserta. Aktiviti ini berjaya membantu peserta lebih terbuka untuk berinteraksi serta membina kepercayaan dalam kelompok.

Di samping itu, aktiviti gotong-royong turut dijalankan dengan melibatkan staf dan pegawai psikologi dalam usaha membersihkan kawasan sekitar rumah jagaan anak yatim. Aktiviti ini merangkumi kerja-kerja menyapu kawasan persekitaran, membersihkan tandas, memasang papan tanda serta memastikan kawasan kediaman berada dalam keadaan yang lebih teratur dan bersih.

Seterusnya, aktiviti sesi kaunseling kelompok dijalankan dengan memberi fokus kepada penerokaan kekuatan diri, Kerjasama antara kumpulan serta aktiviti refleksi kendiri. Melalui aktiviti seperti perbincangan kelompok dan permainan psikologi, peserta digalakkan untuk mengenal pasti kelebihan diri serta memahami bahawa setiap individu mempunyai potensi tersendiri yang boleh dikembangkan.

Sepanjang sesi berlangsung, peserta menunjukkan penglibatan yang aktif dan memberi respons positif terhadap aktiviti yang dijalankan. Pendekatan interaktif yang digunakan membantu peserta meluahkan perasaan dengan lebih selesa di samping memupuk rasa dihargai dan disokong dalam kalangan ahli kelompok.

Program ini diharapkan dapat memberi kesan positif kepada perkembangan emosi dan sosial anak-anak yatim serta meningkatkan keyakinan mereka untuk terus mengembangkan potensi diri. Pendekatan kaunseling kelompok yang digunakan memberi peluang kepada peserta untuk memahami bahawa setiap individu mempunyai potensi dan kelebihan tersendiri.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Universiti Utara Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti serta memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat.

Diharapkan program seumpama ini dapat memberi impak positif kepada kesejahteraan emosi anak-anak yatim serta memberi inspirasi kepada mereka untuk terus melangkah maju dalam kehidupan. – Aida Solehah Sablin (Kaunselor Pelatih Pusat Kaunseling)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button