Campus

Bengkel SULAM dan Taklimat Project for Happiness 2.0 perkasa pembelajaran secara langsung dengan masyarakat

Berita dan gambar Muhammad Ridhuan Abdullah

SINTOK, 1 April 2026: Pusat Perancangan Dasar dan Kecemerlangan Akademik (CAEP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) yang menghimpunkan timbalan-timbalan dekan akademik dan antarabangsa dan pensyarah yang terlibat dengan SULAM dalam usaha memperkukuhkan pelaksanaan SULAM di UUM.

Penyelaras SULAM UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Juliana Aida Abu Bakar berkata, bengkel ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai konsep dan prinsip SULAM, termasuk bagaimana pendekatan ini dapat menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar masyarakat.

Selain itu, menurutnya, peserta turut didedahkan kepada aplikasi pemikiran reka bentuk (design thinking) dalam merangka projek SULAM yang lebih sistematik dan berimpak.

Sesi turut menekankan kepentingan elemen refleksi dalam pelaksanaan SULAM bagi memastikan pengalaman pembelajaran pelajar lebih bermakna dan berupaya membentuk nilai empati serta tanggungjawab sosial.

Melalui pendekatan ini, pelajar bukan sahaja memahami teori, malah mampu menilai kesan intervensi mereka terhadap masyarakat.

Dalam usaha memastikan kelestarian program, bengkel ini turut memberi fokus kepada pembinaan jalinan komuniti yang berterusan antara universiti dan rakan strategik.

Kerjasama erat ini dilihat sebagai pemangkin kepada pelaksanaan projek SULAM berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Menariknya, bengkel ini turut diserikan dengan taklimat khas mengenai Project for Happiness 2.0 oleh MyStarfish Foundation yang membuka peluang pembiayaan sehingga RM10,000 kepada pelajar untuk melaksanakan projek SULAM yang inovatif dan memberi impak sosial yang signifikan.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memperkasakan warga akademik dalam merancang dan melaksanakan projek SULAM secara lebih efektif, seterusnya menyokong agenda pendidikan tinggi negara dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berjiwa masyarakat.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button