Campus

BPA UUM perkasakan akses pendidikan fleksibel melalui Bengkel Panel Penilai APEL.A

Gambar Muhammad Hamizan Bistomi

SINTOK, 8 April 2026: Bahagian Pengurusan APEL (BPA) di bawah Pusat Perancangan Dasar dan Kecemerlangan Akademik (CAEP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Panel Penilai APEL.A bagi kemasukan Tahap 6 (Sarjana Muda), Tahap 7 (Sarjana), dan Tahap 8 (Doktor Falsafah).

Ketua BPA, Dr. Amirul Faiz Osman berkata, bengkel sehari yang berlangsung pada Ahad lalu di EDC-UUM itu merupakan inisiatif penting universiti dalam menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat dan akses pendidikan yang lebih inklusif.

Menurutnya, penganjuran ini merupakan bengkel siri pertama yang digerakkan oleh pihak BPA UUM pada tahun ini.

“Sebagai langkah proaktif, beberapa siri bengkel yang sama akan diteruskan pada masa akan datang dengan tujuan untuk melatih dan melantik lebih ramai panel penilai yang kompeten bagi memproses permohonan kemasukan ke universiti melalui saluran APEL.A,” katanya.

APEL.A atau Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Akses) adalah satu laluan alternatif bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang mengiktiraf pengalaman kerja dan pembelajaran tidak formal pemohon.

Bagi memastikan penyampaian maklumat yang berkualiti tinggi, bengkel ini telah menampilkan penceramah jemputan, Prof. Dr. Afzhan Khan dari Kolej Universiti Jesselton.

Beliau merupakan bekas tenaga pelatih Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta pakar rujuk utama yang membangunkan buku garis panduan amalan baik APEL.A dan APEL.M di Malaysia.

Dalam sesi latihannya, Dr. Afzhan menegaskan bahawa APEL merupakan sebahagian daripada komponen penting di dalam kerangka pendidikan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) 2.0.

“Landskap pendidikan masa hadapan akan lebih berteraskan pendekatan yang fleksibel namun kekal memberikan penekanan yang tinggi terhadap kualiti pendidikan.

“APEL memainkan peranan utama dalam menyokong kelestarian ekosistem pendidikan fleksibel ini,” katanya.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta yang terdiri daripada ahli akademik UUM telah diberikan pendedahan terperinci mengenai kaedah terbaik untuk menilai permohonan calon melalui saluran APEL.A.

Penilaian holistik yang ditekankan dalam latihan tersebut merangkumi ujian aptitud, penilaian portfolio, sesi temuduga, cadangan penyelidikan, serta pembentangan.

Secara khususnya, peserta dibimbing secara praktikal tentang tatacara pemberian markah bagi portfolio berdasarkan rubrik piawai yang telah dibangunkan.

Selain itu, mereka juga dilatih mengenai prosedur pengendalian sesi temuduga yang berkesan serta proses penilaian pembentangan kajian penyelidikan bagi memastikan ketelusan dan kejituan, terutamanya dalam menilai calon permohonan APEL.A Tahap 8 (PhD).

Penganjuran bengkel ini diharap dapat memantapkan lagi jaminan kualiti penilaian kemasukan pelajar ke UUM melalui laluan APEL.A, seterusnya mengangkat reputasi UUM sebagai universiti yang menyokong penuh pendemokrasian pendidikan. – Dr. Amirul Faiz Osman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button