Tiada Yang Terpinggir: JSM UUM Beri Pencerahan Kemudahan Rawatan Kanser
Berita dan gambar Muhammad Syafiz Omar
SINTOK, 9 April 2026: Jabatan Sumber Manusia (JSM), Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia telah menganjurkan Sesi Khas Perkongsian Ilmu: Pengurusan Kemudahan Cuti dan Perubatan secara dalam talian melalui platform Webex, baru-baru ini.
Yang Menjalankan Fungsi Pendaftar, Mohd Zulkifli Mohd Noor berkata, sesi ini bukan sekadar perkongsian teknikal mengenai peraturan pentadbiran, sebaliknya merupakan usaha murni membina ekosistem kerja yang prihatin.

“Program ini bertujuan memastikan setiap staf, terutamanya mereka yang sedang berjuang melawan kanser, tidak merasa terpinggir dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada universiti,” katanya.
Ketua Unit Inisiatif Kebajikan dan Perubatan Staf, Muhammad Husaini Salleh yang menyampaikan taklimat ini berkata, bertujuan memberi pencerahan menyeluruh mengenai kemudahan perubatan dan cuti yang disediakan oleh pihak universiti, khususnya buat kakitangan yang memerlukan sokongan kesihatan berpanjangan.
Muhammad Husaini turut memberi penjelasan mengenai prosedur mendapatkan rawatan di bawah tanggungan universiti, manakala Amirah Mohamad dari Unit Cuti dan Persaraan memperincikan jenis-jenis cuti perubatan untuk staf yang menghadapai masalah kesihatan.

Antara intipati penting program adalah memberi ruang kepada warga UUM yang menghidap kanser untuk berkongsi perspektif serta pengalaman menguruskan kerjaya dan kesihatan secara seimbang, penjelasan terperinci mengenai prosedur tuntutan dan kemudahan perubatan agar kebajikan staf sentiasa terpelihara sepanjang tempoh rawatan serta memastikan setiap kakitangan memahami hak mereka agar tidak merasa terasing ketika menghadapi fasa kesihatan yang mencabar.
Sesi tersebut diakhiri dengan slot soal jawab yang interaktif, membolehkan para peserta mendapatkan penjelasan langsung mengenai isu-isu spesifik berkaitan kemudahan yang sedia ada.
Melalui inisiatif ini, JSM UUM terus memperkukuh komitmen dalam menjaga kesejahteraan warganya, selaras dengan objektif universiti untuk menjadi sebuah institusi yang inklusif dan penyayang.



