STML UUM raikan staf dan kecemerlangan 2025
Berita dan gambar Salina Ali
SINTOK, 13 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah meraikan warga kerjanya dalam Majlis Apresiasi STML 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM.
Penganjuran majlis ini menjadi platform penting untuk menghargai sumbangan serta pencapaian cemerlang staf akademik dan pentadbiran sepanjang tahun 2025, selaras dengan aspirasi kecemerlangan universiti.

Dekan STML, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim, dalam ucapannya menegaskan bahawa pengiktirafan seperti ini mampu menjadi pemangkin motivasi kepada warga kerja untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya barisan urus setia yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa STML terus mencatat kejayaan apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Pusat Pengajian Terbaik bagi tahun 2025, sekali gus mengukuhkan pencapaian apabila meraih tempat pertama untuk kali ketiga.
Sebagai kemuncak acara, seramai 70 penerima telah diraikan melalui 13 kategori anugerah yang merangkumi pelbagai aspek kecemerlangan, termasuk pengajaran, penyelidikan, pentadbiran, inovasi serta sumbangan kepada komuniti.

Majlis turut diserikan dengan penghargaan kepada staf yang telah bersara, iaitu Pensyarah STML, Prof. Dr. Che Azlan Taib yang merupakan mantan Pustakawan, serta Prof. Madya Dr. Rohaizah Saad sebagai tanda penghormatan atas jasa dan bakti mereka sepanjang berkhidmat di STML.
Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada staf yang berpindah jabatan, iaitu Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed Udin dan Shalini a/p Sivalingam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada pusat pengajian.
Suasana majlis bertambah meriah dengan pelbagai aktiviti santai seperti kuiz interaktif Kahoot dan cabutan bertuah.



