Derma darah ‘Heroes Among Us’ sokong keperluan bekalan darah di hospital Kedah dan Perlis
Berita dan gambar Muhammad Farhan Nabil Zainol
SINTOK, 14 April 2026: Program derma darah bertemakan “Blood Donation: Heroes Among Us” telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) Inapan SiswA (Inasis) SME Bank dengan kerjasama Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) melalui Jabatan Perubatan Transfusi.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 April di Bilik Kebudayaan, Inasis SME Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini bertujuan untuk menyokong keperluan bekalan darah bagi pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital sekitar Kedah dan Perlis.

Sepanjang tempoh penganjuran, program ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 75 orang dalam kalangan warga UUM, dengan 54 orang daripadanya layak dan berjaya menderma darah.
Pencapaian ini mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen yang tinggi dalam kalangan mahasiswa terhadap kepentingan amalan menderma darah sebagai satu tanggungjawab sosial.
Pengarah Program, Nur Fitrah Zahar berkata, sumbangan darah yang diperoleh dijangka dapat membantu pesakit yang memerlukan rawatan seperti pembedahan, rawatan dialisis serta pelbagai prosedur perubatan lain yang memerlukan transfusi dan penggunaan darah secara berterusan.
Menurutnya, inisiatif ini turut menyokong usaha pihak hospital dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan pesakit.

Katanya, penganjuran program ini bukan sahaja memberi fokus kepada aspek bantuan kesihatan, malah berperanan dalam membentuk sahsiah pelajar yang prihatin dan berjiwa sukarelawan.
“Konsep Heroes Among Us yang diketengahkan menggambarkan bahawa setiap individu mampu menjadi wira melalui sumbangan yang kecil tetapi signifikan.
“Setiap titisan darah yang didermakan berpotensi menyelamatkan nyawa dan memberi harapan baharu kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Dari sudut pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), program ini telah memenuhi KPI T3D1C10 (Number of External Communities Benefiting from KTP & USR Events) melalui penglibatan komuniti luar iaitu pesakit di hospital sekitar Kedah dan Perlis yang menerima manfaat daripada sumbangan darah, dengan kerjasama Hospital Sultanah Bahiyah sebagai agensi pelaksana.

Selain itu, program ini turut menyumbang kepada KPI T6D1C10 (Number of High Impact Community Service Programmes Collaborated with NGOs, State or Federal Agencies) melalui kolaborasi bersama agensi kesihatan kerajaan, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam pelaksanaan program khidmat komuniti berimpak tinggi.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan secara berterusan bagi memperkasakan budaya kesukarelawanan dalam kalangan pelajar serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara universiti dan agensi luar demi kesejahteraan masyarakat.



