Pusat Islam, Exco Inasis perkukuh sinergi perkasa agenda kerohanian pelajar
Gambar Abdul Razak Abdullah
SINTOK, 23 April 2026: Dalam usaha memantapkan syiar Islam dan pembangunan sahsiah di peringkat kampus, satu sesi ramah mesra melibatkan barisan Exco Kerohanian Inapan Siswa (Inasis) dan warga Pusat Islam telah berjaya dilaksanakan dalam suasana penuh ukhuwah, Selasa lalu.

Program bertemakan “Platform Perkasa Program Kerohanian Pelajar” itu bertujuan memperkukuhkan jaringan kerjasama antara kepimpinan pelajar dan pihak pentadbiran agama, sekali gus memastikan setiap aktiviti kerohanian mendapat sokongan padu dan bimbingan yang tepat.
Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, kolaborasi antara kedua-dua pihak adalah tunjang utama dalam memastikan keberkesanan program yang dijalankan.
“Jaringan yang kukuh antara Exco Kerohanian dan Pusat Islam amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang selari dengan aspirasi pembangunan sahsiah mahasiswa.
“Kita mahukan gerak kerja yang lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya.
Sesi tersebut turut menyaksikan satu langkah proaktif melalui pelantikan Penyelaras Kerohanian Inasis dalam kalangan staf Pusat Islam.
Peranan ini diwujudkan bagi mempermudahkan urusan penyelarasan logistik, bimbingan langsung serta perkongsian kepakaran antara staf dan pemimpin pelajar.

Antara fokus utama perbincangan dua hala yang dijalankan termasuklah:
-
Penyelarasan Takwim: Memastikan program kerohanian sepanjang sesi akademik berjalan lancar tanpa pertindihan.
-
Pembangunan Akhlak: Memperkasa aktiviti berasaskan adab selaras dengan konsep Menjulang Ilmu Mengakar Adab yang digagaskan oleh Naib Canselor.
-
Kelestarian Program: Mencari solusi terhadap cabaran pelaksanaan aktiviti di peringkat INASIS.
Rata-rata peserta yang hadir menyambut baik inisiatif tersebut dan berharap agar platform ini dijadikan acara berkala. Hal ini bagi memastikan setiap perancangan pembangunan spiritual pelajar dapat dilaksanakan secara lebih efektif, menyeluruh dan konsisten. – Muhammad Kamil Yazid



