Lawatan Penanda Aras PPDK Impian UUM Ke PPDK USM perkukuh perancangan infrastruktur
Berita dan gambar Dr. Yusniza Mohd Yusoff
PULAU PINANG, 26 April 2026: Satu sesi lawatan penanda aras ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung baru-baru ini.
Lawatan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Penaja PPDK IMPIAN Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dr. Nazmin Abdullah selaku Pengerusi PPDK UUM dan turut disertai oleh tenaga kerja daripada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) UUM.

Dr. Nazmin berkata, tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan maklumat serta berkongsi pengalaman berkaitan keperluan infrastruktur dan pencapaian cemerlang PPDK USM dalam pelbagai inisiatif pemulihan komuniti.
Menurutnya, lawatan ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan perancangan penubuhan PPDK IMPIAN UUM dilaksanakan secara komprehensif dan berimpak tinggi.
“Lawatan ini memberi peluang kepada kami untuk memahami dengan lebih mendalam aspek keperluan infrastruktur, pengoperasian serta amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh PPDK USM.

“Input yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha merealisasikan penubuhan PPDK IMPIAN UUM sebagai sebuah pusat yang inklusif, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Pengerusi PPDK USM Kampus Induk, Dr Syazwani Drani dengan bantuan tenaga pengajar, Cik Noreen.
Sepanjang lawatan, rombongan UUM turut dibawa melawat kedua-dua lokasi PPDK USM yang juga menempatkan Pusat Autisme Termaju (PAUT), sekali gus memberikan pendedahan menyeluruh terhadap operasi serta kemudahan yang disediakan.

Lawatan penanda aras ini dilihat sangat bermanfaat dalam memberi input dan idea kepada pasukan terlibat bagi merealisasikan penubuhan PPDK IMPIAN UUM di kampus Sintok dalam masa terdekat.
Inisiatif ini turut diperkukuh dengan kejayaan UUM memperoleh geran berjumlah RM1.5 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Penaja PPDK IMPIAN UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dr Ahmad Martadha Mohamad atas sokongan dan kelulusan bagi pelaksanaan lawatan penanda aras tersebut.



