UUM COLGIS perkasa pembangunan kerjaya pensyarah percubaan
Gambar Dr. Hasan Mohamed Zakaria
SINTOK, 27 April 2026: Pejabat Penolong Naib Canselor, UUM COLGIS telah menganjurkan perjumpaan khas Penolong Naib Canselor UUM COLGIS bersama semua pensyarah yang berstatus percubaan dalam usaha memantapkan kecemerlangan akademik dan tadbir urus modal insan di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Pengajian Undang-undang, kelmarin.
Sesi libat urus tersebut telah dihadiri oleh seramai 35 pensyarah muda yang sedang dalam fasa persediaan bagi pengesahan jawatan di bawah naungan UUM Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM COLGIS).

Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abd Wahab dalam amanatnya menekankan bahawa status percubaan merupakan tempoh kritikal bagi setiap ahli akademik untuk menzahirkan komitmen yang tinggi terhadap visi dan misi universiti.
Beliau memberikan peringatan mengenai peri pentingnya memenuhi setiap kriteria yang ditetapkan bagi menjamin kelangsungan kerjaya yang cemerlang.
Sepanjang sesi tersebut, beliau turut berkongsi pelbagai tips strategik serta membincangkan keperluan teknikal yang perlu dipenuhi oleh para pensyarah.
Perjumpaan ini berfungsi sebagai platform komunikasi dua hala yang efektif, membolehkan para pensyarah mendapat bimbingan terus daripada pihak pengurusan tertinggi kolej.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan UUM COLGIS dalam melahirkan barisan pendidik yang berwibawa dan bersedia mendepani cabaran pendidikan tinggi masa hadapan. – Abu Bakar Omar Hamdan



