Uncategorized

Kunjungan TISSA-UUM ke Bateriku.com perkukuh jalinan akademia-industri

Gambar oleh: TISSA-UUM

SHAH ALAM, 25 April 2026: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Bateriku.com pada 25 April 2026 bagi meneroka peluang kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri.

Delegasi UUM diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali, bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Mohd Hadzrami Harun Rasit, serta Pengerusi Program Pascasiswazah, Prof. Madya Dr. Siti Seri Delima Abdul Malak dan Dr. Mohd Hadafi Sahdan.

Kunjungan ini telah disambut oleh barisan pengurusan Bateriku.com yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Azarol Faizi Zakaria Ansari; Pengarah, Sharifah Shafeeza Syed Sheh; Ketua Pegawai Kewangan,  Azmi Awang; serta Eksekutif, Faiz Ismail dan Nazirah Darus.

Perbincangan tertumpu kepada pembangunan bakat pelajar melalui peluang penempatan latihan industri merentasi pelbagai bidang dengan penekanan kepada pelajar perakaunan. Selain itu, kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan kolaborasi jaringan antara pensyarah dan pelajar bagi merapatkan jurang antara keperluan akademik dan kehendak industri semasa.

Turut dibincangkan ialah pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara bersama serta kolaborasi dengan Akademi Bateriku dalam pembangunan keusahawanan dan kemahiran melalui program jangka pendek. Inisiatif ini berpotensi diselaraskan dengan program SULAM UUM bagi memberi impak yang lebih menyeluruh kepada pelajar dan komuniti.

Selain itu, peluang penyelidikan dalam persekitaran industri sebenar melalui pendekatan ‘sandbox’ turut dikenal pasti sebagai platform penting untuk memperkasa inovasi dan penyelesaian praktikal. Pihak industri juga menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam sesi perkongsian ilmu dan ceramah bagi meningkatkan pendedahan pelajar terhadap realiti dunia pekerjaan.

Secara keseluruhan, kunjungan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan akademia-industri ke arah melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing. – Prof. Madya Dr. Siti Seri Delima Abdul Malak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button