Campus

Majlis Apresiasi SOC 2025 hargai komitmen dan kecemerlangan warga pengkomputeran UUM

Gambar SOC

SINTOK, 28 April 2026: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi SOC 2025 pada hari ini bermula jam 10.00 pagi bertempat di EDC Hotel, UUM Sintok sebagai satu inisiatif tahunan bagi menghargai sumbangan, dedikasi serta pencapaian cemerlang warga kerja sepanjang tahun 2025.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali, dan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan utama pusat pengajian termasuk timbalan-timbalan dekan, pengerusi-pengerusi program prasiswazah dan pascasiswazah, profesor, pensyarah serta kakitangan pentadbiran SOC.

Dr. Osman berkata, kehadiran menyeluruh warga SOC ini jelas mencerminkan semangat kebersamaan serta komitmen tinggi dalam memperkukuhkan budaya kerja cemerlang di peringkat pusat pengajian.

Beliau menzahirkan rasa syukur atas pencapaian berterusan SOC serta penghargaan kepada seluruh warga kerja yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan akademik dan pentadbiran terus diperkasa.

“Kejayaan SOC bukan sahaja diukur melalui pencapaian KPI, malah melalui komitmen kolektif dalam bidang pengajaran, penyelidikan, inovasi dan khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian penghargaan kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai kategori, sebagai simbol pengiktirafan terhadap usaha gigih, profesionalisme dan dedikasi yang telah dipamerkan sepanjang tahun lalu.

Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan, malah berperanan sebagai platform strategik untuk memotivasikan warga SOC agar terus meningkatkan prestasi serta mengekalkan momentum kecemerlangan dalam menghadapi cabaran dunia akademik yang semakin kompetitif dan dinamik.

Secara keseluruhannya, Majlis Apresiasi SOC 2026 berjaya berlangsung dalam suasana yang meriah, profesional dan bermakna, sekali gus memperkukuhkan semangat kekitaan serta komitmen warga Pusat Pengajian Pengkomputeran dalam merealisasikan visi dan misi Universiti Utara Malaysia sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul. – Gs. Dr Nur Suhaili Mansor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button