Menerajui transformasi pendidikan kemahiran global: Pengurusan TVET UUM perkukuh kolaborasi strategik melalui lawatan strategik ke UniKL
Berita dan gambar oleh: Dr Wahida Yaakub
KUALA LUMPUR, 27 April 2026: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) melalui Pengurusan TVET UUM telah mengadakan satu lawatan strategik ke Universiti Kuala Lumpur melibatkan delegasi antarabangsa, akademia dan rakan industri strategik dalam usaha memperluas jaringan kerjasama strategik antarabangsa dan memperkukuh agenda pembangunan TVET berteraskan industri.

Lawatan ini turut disertai oleh delegasi daripada Petroleum Training & Qualifying Institute (PTQI), Libya iaitu Dr. Abdulmagid Elazhari M Ali, Mr. Khaled Mohamed KH Marh, Dr. Salem A S Omar, Mr. Mohamed Amammer Mohamed Adbeib dan Mr. Abdullah Almabrouk bersama Pengurusan TVET UUM dan industri yang diketuai oleh Prof Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Bin Hj. Ahmad selaku Pengarah Pengurusan TVET UUM, Encik Kamal Khalid Timbalan Pengarah Pengurusan TVET UUM serta Puan Wan Norkhairiyah Montil, Naib Presiden Kanan Antah Oilfield Services.
Delegasi lawatan telah disambut oleh barisan pengurusan tertinggi Universiti Kuala Lumpur yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan selaku Timbalan Presiden (IIIP), bersama Prof. Madya ChM Ts. Dr. Yuhanees Mohamed Yusof, Pengarah ACE, Ts. Dr. Mohamed Zul Fadhli Khairuddin, Dekan MESTECH, Dr. Noor Aina Mohd Nazri, Dekan MICET serta Mr. Muhammad Hafidzi Abu Bakar, Ketua Pegawai Kewangan UniKL dalam suasana profesional dan penuh semangat kolaboratif.

Fokus utama lawatan strategik ini adalah bagi memperkukuh potensi kolaborasi TVET bertaraf antarabangsa yang selari dengan agenda transformasi Pengurusan TVET UUM dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kompeten dan bersedia mendepani keperluan industri masa hadapan.
Perbincangan yang berlangsung memberi penekanan kepada pembangunan kepakaran tenaga pengajar, pemindahan teknologi serta pengukuhan ekosistem TVET berteraskan konsep “Teaching Factory” yang menampilkan simulasi persekitaran industri sebenar sebagai pendekatan pembelajaran masa kini.

Pendekatan ini dilihat mampu memperkasakan pembangunan bakat melalui integrasi pengalaman praktikal, pembelajaran berasaskan industri dan penguasaan teknologi semasa yang semakin menjadi keutamaan dalam landskap pendidikan teknikal global.
Delegasi turut didedahkan kepada pendekatan latihan berorientasikan industri yang menyeimbangkan elemen praktikal dan teori selain perkongsian berkaitan pembangunan fasiliti teknikal, inovasi teknologi gunaan dan bidang berkaitan alam sekitar serta kejuruteraan yang berpotensi menyokong pembangunan tenaga kerja masa depan yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada penerokaan pelbagai peluang kerjasama berimpak melibatkan pembangunan latihan teknikal, perkongsian kepakaran profesional, pembangunan modul industri serta pengantarabangsaan pendidikan TVET.
Inisiatif seperti ini dijangka menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekosistem TVET yang lebih responsif, futuristik dan berorientasikan industri, sekali gus memperkukuh kedudukan Universiti Utara Malaysia sebagai institusi yang aktif menerajui agenda pembangunan bakat dan pendidikan teknikal di peringkat nasional serta antarabangsa.



