Pengurusan TVET UUM dan McDonald’s Malaysia bentuk laluan kerjaya masa depan
Berita dan gambar Dr. Wahida Yaakub
PETALING JAYA, 17 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) melalui Pengurusan TVET UUM terus mengorak langkah memperkukuhkan jaringan strategik industri apabila mengadakan sesi perbincangan bersama pihak McDonald’s Malaysia di bilik mesyuarat Big Mac, Ibu Pejabat McDonald’s Malaysia, Damansara Uptown, Petaling Jaya.
Pengurusan TVET UUM diketuai oleh Dekan UUMKL, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman bersama Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad; Timbalan Pengarah, Kamal Khalid serta Dr. Norwahida Yaakub.

Ketibaan delegasi UUM disambut oleh barisan pengurusan kanan McDonald’s Malaysia yang diketuai oleh Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi.
Turut hadir ialah Pengarah Kolaborasi Strategik dan Pematuhan, Ahmad Shihafiddin; Ketua Unit Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, Noorhayati Ramly; Pengarah Latihan dan Pembangunan, Marzita Primus dan Pegawai Kanan Kolaborasi Strategik, Afiqah.
Dr. Nik Adzrieman berkata, perbincangan ini memperhalusi hala tuju kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan industri dan memfokus kepada pembangunan program pendidikan dan pentauliahan secara mod latihan dalam industri yang diyakini mampu membuka lebih banyak peluang pembangunan kerjaya kepada golongan belia dan tenaga kerja masa hadapan.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk pembangunan laluan pendidikan berasaskan kemahiran melalui program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang berkaitan industri perkhidmatan makanan dan hospitaliti.

Agenda utama perbincangan merangkumi pembangunan modul latihan industri, pengukuhan kompetensi tenaga kerja, pembangunan kemahiran insaniah, latihan berstruktur serta pembelajaran berasaskan pengalaman industri sebenar bagi melahirkan graduan TVET yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Kedua-dua pihak turut membincangkan laluan akademik bagi graduan DKM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan, sekali gus mewujudkan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang lebih inklusif.
Melalui sinergi strategik antara akademia dan industri ini, pengurusan TVET UUM optimis lebih banyak inisiatif berimpak tinggi dapat direalisasikan pada masa hadapan dalam usaha membentuk generasi tenaga kerja profesional, kompeten dan bersedia mendepani cabaran Revolusi Industri masa kini.



