Ihtifal KAFA Kawasan Changlun Semarak Syiar Islam, Hargai Pengorbanan Guru
Berita dan gambar Wan Norzuhaidi Wan Abdullah
SINTOK, 17 Mei 2026: Suasana penuh kemeriahan dan warna-warni menyinari Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila menjadi lokasi berlangsungnya Majlis Ihtifal KAFA dan Sambutan Hari Guru Peringkat Kawasan Changlun yang menghimpunkan pendidik, pelajar serta ibu bapa dari seluruh kawasan Changlun.

Program yang sarat dengan pengisian ilmiah dan nilai tarbiah itu dianjurkan sebagai platform memperkasakan pendidikan Islam di samping menzahirkan penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan para guru dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri di mana menurutnya, guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi merupakan pembina akhlak dan pencorak masa depan ummah.
Menurutnya, anak-anak yang berada di hadapan kita hari ini adalah amanah besar yang perlu dibimbing dengan ilmu, kasih sayang dan nilai Islam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh guru KAFA yang terus istiqamah dan komited mendidik anak-anak walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.
“Sesungguhnya jasa guru amat besar dalam melahirkan generasi rabbani yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul sahsiah dan jati dirinya.

“Saya berharap program seperti ini akan terus diperkasakan demi memastikan syiar pendidikan Islam terus subur dalam masyarakat,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai acara dipertandingkan antaranya Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Bercerita dan Nasyid yang berjaya mencungkil bakat serta potensi pelajar dalam bidang akademik dan kesenian Islam. Penyertaan yang amat memberangsangkan turut memperlihatkan keyakinan dan kreativiti peserta dalam mengetengahkan kebolehan masing-masing.
Majlis tersebut turut menjadi medan memperkukuhkan ukhuwah dan jalinan silaturahim antara warga pendidik, pelajar serta masyarakat setempat dalam usaha bersama memperkasakan agenda pendidikan Islam di peringkat akar umbi.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan serta sesi penghargaan khas sempena Sambutan Hari Guru sebagai simbol penghormatan kepada insan yang telah banyak berjasa dalam dunia pendidikan.
Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul dari aspek sahsiah dan nilai keinsanan.



