Hubungan strategik UUM-QHHU diperkukuh melalui penubuhan English Learning Center
Gambar Nadzif Al-Amin dan Nik Mohd Zulfazlin Nik Zahari
SINTOK, 18 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan apabila sesi perbincangan strategik bersama delegasi Qingdao Huanghai University (QHHU), China yang diketuai oleh Naib Presiden, Prof. Dr. Wang Pengcheng dan dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri berlangsung dengan penuh positif dan membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Mesyuarat tersebut menjadi langkah signifikan ke arah penubuhan sebuah English Learning Center (ELC) di QHHU, selaras dengan hasrat Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed untuk memperluaskan jangkauan global universiti melalui kerjasama akademik antarabangsa.

Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, inisiatif ELC ini telah diusahakan oleh PDU, SLCP dan akan dilancarkan secepat mungkin seperti mana yang diharapkan.
Sebahagian besar perkara berkaitan perjanjian kerjasama telah berjaya dipersetujui oleh kedua-dua pihak termasuk pelaksanaan Beyond Borders English Programme (BBEP) oleh PDU, SLCP bermula September 2026.
Melalui kerjasama ini, ELC dijangka menjadi hab pembangunan bahasa Inggeris, persediaan akademik dan kesiapsiagaan pelajar antarabangsa, khususnya sebagai laluan persediaan pelajar China melanjutkan pengajian ke UUM. – Dr. Noor Asbahan Shahizan



