Campus

Perodua pilih UUM jenamakan semula Inasis atas reputasi universiti terbaik

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 19 Mei 2026: Inapan Siswa (Inasis) Petronas kini dijenamakan semula sebagai Inasis Perodua hasil jalinan kerjasama strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. atau Perodua.

Perasmian Inasis Perodua telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad di mana beliau berkata, pemilihan UUM sebagai rakan strategik adalah berdasarkan reputasi dan pencapaiannya sebagai salah sebuah universiti terbaik di Asia.

Menurutnya, UUM sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan pelajar, sekali gus memberi keyakinan kepada Perodua untuk sama-sama menyumbang dalam melahirkan graduan berwibawa dan bersedia menghadapi cabaran dunia profesional pada masa hadapan.

“Penajaan Inasis Perodua ini memperlihatkan komitmen untuk menyumbang kepada pembangunan pelajar UUM kerana kolej kediaman bukan sekadar tempat penginapan tetapi menjadi rumah kedua kepada mereka dalam membina masa depan dan semangat berdikari,” katanya.

Beliau juga menyatakan komitmen Perodua untuk membantu menyediakan kemudahan terbaik kepada pelajar UUM supaya mereka terus fokus kepada pembelajaran tanpa perlu risau tentang aspek penginapan dan kebajikan.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kerjasama tersebut merupakan satu usaha meningkatkan perkhidmatan kepada pelajar dan komuniti universiti apabila Perodua bersetuju menyumbang penajaan berjumlah RM350,000 selama lima tahun sehingga Mac 2030.

“Penjenamaan semula ini memberi identiti baharu yang lebih menyerlah kepada kolej kediaman pelajar dan seluruh warga UUM amat berbangga dengan kesudian kepimpinan tertinggi Perodua untuk hadir bersama-sama pelajar UUM menjayakan majlis ini.

“Kami berharap, kerjasama baik ini akan terus terpelihara kerana ia memberi manfaat yang besar bukan sahaja kepada universiti tetapi paling utama pelajar UUM,” katanya.

Selaras dengan penjenamaan Inasis Perodua ini, rakan strategik UUM itu turut menyediakan lima buah kenderaan Perodua bagi memudahkan pelajar mendapatkan perkhidmatan kereta sewa menggunakan aplikasi P-Circle.

Perodua bersetuju menyediakan 20 kenderaan sewa untuk pelajar dan warga kampus secara berperingkat pada masa akan datang yang lebih selamat dari segi perlindungan kepada pelajar berbanding perkhidmatan teksi sapu.

Mengulas lanjut, Naib Canselor berpandangan bahawa kerjasama erat institusi pengajian tinggi awam dan pihak industri merupakan salah satu strategi yang diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meneruskan pembangunan negara.

Menerusi penjenamaan Inasis Perodua ini, UUM membuka pintu seluasnya kepada syarikat automotif terkemuka negara ini untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bersama supaya pelajar dan warga UUM dapat merasai hubungan erat UUM dan Perodua.

UUM dan Perodua memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) pada bulan April lalu di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada komuniti kampus. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button