22 pensyarah Universiti Ezbekistan berkursus pedagogi di UUM
Gambar Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin dan Nor ‘Ain Mohamad Hadis
SINTOK, 19 Mei 2026: Seramai 22 pensyarah dari Jizzakh State Pedagogical University (JSPU), Uzbekistan, menyertai program Collaborative Network for Nurturing Capacity and Teaching Transformation (CONNECT-JSPU) bermula 10 hingga 25 Mei ini di Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Delegasi JSPU telah disambut oleh wakil UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hasniza Nordin selaku Pengarah Program CONNECT-JSPU di Kuala Lumpur sebelum dibawa menyertai program eksplorasi budaya melalui lawatan sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur sebagai pendedahan awal kepada budaya tempatan serta landskap pendidikan di Malaysia.
Dr. Hasniza berkata, sepanjang program CONNECT-JSPU, peserta akan mengikuti siri latihan dan pembangunan profesional yang memberi fokus kepada pengukuhan kapasiti pengajaran, transformasi pedagogi, perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan serta aktiviti pelancongan pendidikan.
Menurutnya, inisiatif ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta terus memacu pembangunan pendidikan yang inovatif, dinamik dan berimpak tinggi. – Nor ‘Ain Mohamad Hadis



