Education

Pelajar STHEM gilap potensi kepimpinan melalui SCOHOST Impact 360’

Gambar STHEM

KODIANG, 20 Mei 2026: Seramai 23 pelajar Persatuan Pengurusan Hospitaliti (SCOHOST) daripada Pusat Pengajian Pengurusan Hospitaliti, Pelancongan dan Acara (STHEM) telah menyertai program pembangunan kepimpinan pasukan yang dikenali sebagai “SCOHOST IMPACT 360” anjuran Majlis Tertinggi SCOHOST.

Penasihat SCOHOST, Dr. Siti Aishah Edros telah memberi penekanan mendalam kepada pembentukan ciri-ciri pemimpin masa hadapan yang berdisiplin, berkeyakinan dan mampu bekerja secara kolektif.

Selain itu, menurutnya, aspek yang diambil kira ialah sifat memberikan arahan, keterampilan diri, sifat kerjasama dan kebersamaan dalam semua pelajar persatuan tersebut.

“Program ini bertujuan untuk merapatkan jurang hubungan di antara sesama ahli, di samping membentuk nilai kerjasama dan perpaduan yang kukuh untuk menjayakan objektif kelab.

“Sifat ketelusan, ketegasan dan kepintaran dalam memimpin dapat menyumbang kepada keperibadian yang berkualiti pada masa hadapan,” katanya.

Hari pertama program dimulakan dengan sesi pendedahan berkaitan KPO Perdana Dalaman yang perlu dicapai oleh kesemua kelab di UUM Sintok. Dalam sesi tersebut juga, pelajar mengikuti aktiviti “ice breaking” yang dikendalikan oleh fasilitator dalam kalangan Majlis Tertinggi SCOHOST bagi mewujudkan sesi pengenalan dan mencipta persefahaman antara ahli untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Dalam sesi tersebut, Presiden SCOHOST, Muhammad Alif Iskandar bin Zalami menekankan kepentingan memahami pengisian almanak, surat-menyurat dan proses kelulusan program yang memerlukan ketelitian dari segi penyediaan objektif, pengiraan bajet dan sasaran peserta bagi memastikan sesuatu program dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kesedaran potensi diri dan penerapan sifat kepimpinan perlu dipelajari bagi membina identiti diri yang kuat dan dihormati masyarakat.

“Program ini dirancang dengan teliti bukan hanya untuk aktiviti santai, tetapi untuk melatih peserta menjadi individu yang berani, bekerjasama dan mengumpul semangat kepimpinan yang besar dalam diri,”katanya.

Program diteruskan dengan aktiviti corporate social responsibility (CSR) melalui kolaborasi bersama komuniti Kampung Pering, Kodiang yang diketuai oleh Johari Yahaya dan penduduk kampung. Aktiviti yang dijalankan termasuk pengutipan sampah, penebangan pokok, kerja-kerja menyapu serta membersihkan kawasan sekitar laluan utama kampung. Program CSR ini bukan sahaja memupuk nilai tanggungjawab sosial dalam diri pelajar, malah mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat.

Pada sebelah petang, peserta menjalani aktiviti sukaneka yang diberi nama “Ivory Tower”. Aktiviti tersebut memerlukan ahli persatuan mencantumkan tiga batang paip PVC berukuran satu meter dan memastikan struktur tersebut kekal berdiri teguh dalam tempoh satu minit. Aktiviti ini menguji daya pemikiran kritis, kemahiran komunikasi dan keupayaan peserta untuk bekerjasama penuh di bawah tekanan.

Seterusnya, pelajar berkunjung ke Masjid Al-Ubudiah, Kampung Pering, untuk bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, sekaligus berkongsi rezeki bersama-sama jemaah masjid tersebut. Perkongsian ini dapat mencetuskan satu ukuwah yang terjalin di antara penduduk kampung dan para peserta.

Pada hari terakhir SCOHOST IMPACT 360’ ini diisi dengan slot bersama ahli Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Naim Ismail, Juruteknik Tentera Udara dan Tenaga Pengajar TUDM. Sesi ini mengisi pengetahuan tentang kepentingan keterampilan diri, teknik berhujah di hadapan dan teknik menarik perhatian audiens ketika berhujah di khalayak ramai. Ceramah tersebut memberi pendedahan tentang pentingnya keyakinan diri, disiplin dan kemahiran dalam membentuk seorang pemimpin yang berwibawa dan dihormati.

Pihak Kampung Pering, Kodiang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) atas pemilihan kampung tersebut sebagai sasaran program CSR yang memberi impak kepada mereka.

Johari berkata, semoga pelbagai kolaborasi dapat dijalankan agar dapat membina generasi muda yang sentiasa giat dalam aktiviti kemasyarakatan agar membentuk sikap disiplin dan sikap ingin membantu terus membara dalam jiwa anak muda.

SCOHOST IMPACT 360° bukan sekadar program yang bertujuan mencapai keperluan KPO kelab yang ditetapkan oleh UUM, malah menjadi platform penting dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing, berfikiran matang dan mempunyai kepimpinan yang konsisten, sekali gus membuktikan bahawa pendidikan ilmu kepimpinan yang berimpak mampu membentuk pelajar yang lebih bertanggungjawab serta memberi manfaat kepada masyarakat dan komuniti setempat. – Siti Norizzati Rosli

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button