Campus

Program Pemerkasaan Keusahawanan Sosial Digital Pelajar Asnaf perkasa ekonomi dan kemahiran pelajar

Berita dan gambar Syamimi Sufyan

SINTOK, 20 Mei 2026: Seramai 38 pelajar asnaf Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai Program Pemerkasaan Keusahawanan Sosial Digital Pelajar Asnaf yang berlangsung di Dewan Seminar, Pusat Islam UUM semalam.

Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali berkata, program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara PZW, Pusat Islam, Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Majlis Perwakilan Pelajar UUM serta Products2U Sdn. Bhd. sebagai rakan industri.

Menurutnya, penganjuran program ini bertujuan memperkasa pelajar asnaf melalui pendedahan kepada keusahawanan digital dan platform perniagaan dalam talian selaras dengan perkembangan ekonomi digital masa kini.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu pelajar menjana pendapatan sampingan secara lebih sistematik dan berdaya saing,” katanya.

Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Dr. Juhaida Abu Bakar telah menyampaikan taklimat ringkas berkaitan perkhidmatan serta aktiviti keusahawanan.

Turut hadir lima pelatih daripada P2U yang diketuai oleh Muhamad Farhan Khairol Anuar selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas syarikat P2U.

Menerusi program ini, setiap peserta menerima bantuan modal permulaan (seed money) berjumlah RM300 menerusi dana zakat yang disalurkan oleh badan korporat bagi membolehkan pelajar memulakan perniagaan secara atas talian melalui aplikasi P2U.

Bantuan ini dilihat sebagai pemangkin kepada usaha melahirkan usahawan muda dalam kalangan pelajar asnaf yang lebih berdikari dan berkemahiran dalam bidang perniagaan digital.

Selain itu, seramai 10 mentor yang terdiri daripada pensyarah UUM turut dilantik bagi memantau dan membimbing aktiviti penjualan serta perkembangan perniagaan peserta sepanjang program berlangsung.

Pendekatan bimbingan secara berterusan ini diharap dapat membantu peserta meningkatkan kemahiran pemasaran digital, pengurusan pelanggan dan strategi jualan secara efektif.

Dalam sesi perkongsian pengalaman, seorang pengguna platform P2U, Muhammad Danish Syabir Muhammad Saleh turut berkongsi kejayaannya menjana pendapatan sehingga RM20,000 sebulan melalui penjualan produk yang diiklankan menerusi platform tersebut.

Perkongsian berkenaan telah memberi suntikan motivasi dan inspirasi kepada para peserta untuk memanfaatkan peluang keusahawanan digital secara lebih serius dan berdaya maju.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuhkan agenda kebajikan dan pembangunan pelajar secara holistik, khususnya dalam aspek pemerkasaan ekonomi, inovasi digital dan keusahawanan sosial.

Diharap inisiatif seumpama ini dapat memberi impak positif kepada kesejahteraan pelajar serta membuka lebih banyak peluang penjanaan pendapatan pada masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button