Program KHASIH 2026 Inasis BSN semai nilai kesukarelawanan pelajar UUM
Berita dan gambar Rozita Ramli
KULIM, 25 Mei 2026: Biro Integrasi, Komuniti dan Antarabangsa, Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa (Inasis) BSN, Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah pimpinan Pengarah Projek, Mut’iah Azyan Alilah Omar Daud telah berjaya menganjurkan Program Khidmat Amal Siswa Harapan (KHASIH) 2026: Sentuhan Budi Kasih pada 22 hingga 23 Mei lalu di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri.

Mut’iah Azyan berkata, program yang melibatkan seramai 40 peserta ini bertujuan memperkukuhkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan pelajar melalui pendekatan keluarga angkat bersama komuniti setempat.
Menurutnya, peserta telah didedahkan dengan pengalaman kehidupan masyarakat kampung selain menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Selain menjalinkan hubungan silaturahim antara pelajar dan masyarakat luar, program ini turut memberi penekanan terhadap aspek kelestarian alam sekitar menerusi projek penghijauan komuniti melalui aktiviti penanaman pokok di kawasan kampung. Projek ini adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Kedah.
Penganjuran KHASIH 2026 juga selaras dengan aspirasi UUM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai empati sosial, kepimpinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Majlis penutup program telah dihadiri oleh Pengetua Inasis BSN, Suhaimi Ismail bersama Penolong Pengetua, Rozita Ramli; Dr. Makmur dan juga Penghulu Kg. Buluh, Mahadzir Mahmud.
Dalam ucapan penutup program, Suhaimi mengharapkan program ini dapat menjadi platform terbaik dalam memperkukuh hubungan universiti bersama komuniti setempat serta menyemai budaya kesukarelawanan dalam kalangan pelajar UUM.



