CEDI dan SME Corp. perkukuh penjenamaan produk usahawan komuniti Kedah
Gambar OCJ CEDI
ALOR SETAR, 25 Mei 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama SME Corp. Malaysia telah berjaya menganjurkan Bengkel PKS@KSES: Penjenamaan dan Persediaan PMKS ke Arah Pasaran Lebih Luas pada Khamis lalu bertempat di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar.
Program ini menghimpunkan hampir 100 peserta terdiri daripada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sekitar negeri Kedah serta pelajar program 2u2i di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), UUM.

Program ini merupakan inisiatif strategik SME Corp. Malaysia dalam memperkukuhkan keupayaan PMKS tempatan agar lebih bersedia untuk memperluaskan pasaran domestik dan antarabangsa melalui penambahbaikan aspek penjenamaan, pembungkusan dan penggunaan teknologi digital dalam pemasaran produk.
Bengkel ini dikendalikan oleh tiga tenaga pengajar daripada Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), UUM iaitu Dr. Mohd Fitri Yusoff, Dr. Siti Salmi Jamali dan Dr. Amalia Rosmadi yang dibawa oleh pihak CEDI UUM bagi berkongsi kepakaran dalam bidang penjenamaan dan reka bentuk pembungkusan produk.
Antara pengisian utama program termasuk sesi pengajaran berkaitan Pengenalan kepada Reka Bentuk Pembungkusan, Penjenamaan dan Identiti Visual dalam Pembungkusan, Asas Struktur Pembungkusan, serta Pengenalan kepada Alat Digital seperti Illustrator, Mockup dan Tetapan Cetakan. Peserta turut mengikuti sesi Bengkel Praktikal Projek Mini Reka Bentuk Pembungkusan yang memberi peluang kepada usahawan menghasilkan konsep pembungkusan dan susun atur label produk masing-masing secara hands-on.

Selain itu, program turut diserikan dengan sesi perkongsian industri oleh TM Unifi yang memberi pendedahan berkaitan sokongan digital dan teknologi kepada PMKS bagi membantu memperluaskan capaian pasaran dan meningkatkan keberkesanan pemasaran digital, selain sesi bedah buku bertajuk “Do Your Own Branding” yang dikendalikan oleh wakil SME Corp. Malaysia sebagai usaha memperkukuh kefahaman peserta mengenai strategi penjenamaan produk secara lebih efektif dan kompetitif.
Program ini juga menjadi platform penting bagi CEDI UUM dalam melaksanakan agenda outreach universiti kepada komuniti usahawan di Tanjung Dawai, susulan titah Tuanku Canselor UUM kepada Naib Canselor UUM yang menyarankan agar universiti memainkan peranan aktif dalam memperkasa komuniti usahawan di kawasan tersebut.
Antara peserta yang hadir ialah Wardatie Afifah Fauzi daripada WAF Afifah Legacy, pengusaha produk makanan berasaskan hasil perikanan yang menyifatkan program ini sebagai sangat bermanfaat kerana memberikan ilmu baharu berkaitan strategi penjenamaan dan pembungkusan produk yang mampu meningkatkan nilai komersial produk tempatan.

Turut hadir menyertai program ialah Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai, Mohd Mazry Md Saad yang berharap agar inisiatif kerjasama antara UUM dan SME Corp. Malaysia dapat diperluaskan lagi kepada komuniti usahawan nelayan di seluruh negeri Kedah bagi membantu meningkatkan daya saing produk industri perikanan tempatan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Dr. Juhaida Abu Bakar berharap agar program seperti ini dapat diteruskan secara berterusan dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara universiti, industri dan komuniti usahawan.
Beliau turut menekankan bahawa pemerkasaan aspek penjenamaan, pembungkusan dan penggunaan teknologi digital merupakan antara elemen penting dalam memastikan PMKS tempatan mampu bersaing di pasaran yang lebih luas dan berdaya tahan dalam ekonomi semasa.

“Di samping itu, penglibatan pelajar UUM khususnya daripada program 2u2i turut memberi nilai tambah dalam usaha meningkatkan kemahiran insaniah, kreativiti dan pendedahan praktikal pelajar terhadap dunia keusahawanan sebenar.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan industri ini diyakini mampu membantu memperkasa dan meningkatkan kompetensi pelajar UUM dalam bidang keusahawanan serta pembangunan jenama produk,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah SME Corp. Malaysia Negeri Kedah, Mohamed Zulfikar Ibni Mohamed Hazri merakamkan penghargaan kepada CEDI UUM atas komitmen dan kerjasama strategik dalam menjayakan program tersebut.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kepakaran akademik UUM mampu memberi impak positif kepada pembangunan kapasiti usahawan PMKS di negeri Kedah dan Perlis.
Penganjuran program ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan CEDI UUM dan SME Corp. Malaysia dalam memperkasa ekosistem keusahawanan negara melalui pendekatan latihan berimpak tinggi, kolaborasi strategik dan pembangunan komuniti secara mampan. – Akmal Ahlami Md Rozai



