Pengurusan TVET UUM dedah laluan TVET kepada pelajar SMK Taman Seri Rampai
Berita dan gambar Siti Maisara Mohd Rozainee
KUALA LUMPUR, 25 Mei 2026: Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi perkongsian mengenai laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seri Rampai sempena Majlis Apresiasi SPM-PROME 2025 anjuran UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) dengan kerjasama Affin Bank Berhad.

Sesi tersebut disampaikan oleh Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad yang berkongsi tentang laluan pendidikan TVET, pensijilan kemahiran serta peluang kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional kepada para pelajar.
Dr. Shanusi berkata, perkongsian ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan TVET sebagai antara laluan pendidikan utama negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing.
Menurutnya, pelajar turut didedahkan dengan pelbagai peluang yang ditawarkan melalui TVET seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), peluang melanjutkan pengajian serta prospek pekerjaan dalam industri yang semakin berkembang.

Penglibatan Pengurusan TVET UUM dalam program ini juga mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuhkan kefahaman masyarakat, khususnya pelajar sekolah, terhadap peranan TVET dalam pembangunan modal insan negara.
Sesi tersebut menerima sambutan yang sangat baik apabila pelajar menunjukkan minat dan aktif bertanyakan soalan berkaitan laluan pendidikan serta peluang kerjaya dalam bidang TVET.
Program ini secara tidak langsung berjaya membuka minda pelajar mengenai pelbagai pilihan pendidikan selepas SPM dan potensi besar bidang TVET dalam memenuhi keperluan industri semasa.



