Campus

Program Pengukuhan Integriti tingkat kefahaman teknik temu bual profesional dan kendalian siasatan

Berita dan gambar Mohammad Faizal Azid @ Aziz

SINTOK, 26 Mei 2026: Program Pengukuhan Integriti: Teknik Temu Bual Profesional dan Pengendalian Siasatan di Universiti Awam anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Unit Integriti dengan kerjasama Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam (MPIUA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah berlangsung dengan jayanya secara hybrid classroom di OYAGSB.

Ketua Unit Integriti UUM, Dr. Mukhriz Mat Rus berkata, program ini dilaksanakan sebagai platform pengukuhan kompetensi serta peningkatan kefahaman berkaitan teknik temu bual profesional dan pengendalian siasatan yang berintegriti dalam konteks tadbir urus universiti awam.

Menurutnya, penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen berterusan universiti dan agensi berkaitan dalam memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan pematuhan terhadap tatakelola yang baik.

Program berkenaan telah menghimpunkan penyertaan daripada ahli MPIUA, ahli Majlis Pegawai Undang-Undang Universiti Awam (MPUU), pegawai keselamatan universiti, pegawai Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), pegawai audit dalam serta ahli jawatankuasa siasatan dari pelbagai universiti awam di Malaysia.

Seramai 30 peserta telah menghadiri program secara fizikal manakala 87 peserta lagi mengikuti sesi secara dalam talian, menjadikan keseluruhan penyertaan seramai 117 orang.

Pengisian program telah disampaikan oleh Hanizal Mazni daripada Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kedah.

Hanizal berkata, sepanjang program berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pendekatan profesional dalam pelaksanaan temu bual, kaedah pengumpulan maklumat, aspek etika dan integriti dalam siasatan serta amalan terbaik pengendalian kes di institusi pendidikan tinggi.

Program ini turut menjadi medium perkongsian pengalaman dan jaringan kolaboratif antara pegawai integriti serta pegawai yang terlibat secara langsung dalam pengurusan siasatan di universiti awam.

Program ini yang diinspirasikan dan disokong sepenuhnya oleh Pengerusi MPIUA, Azizi Ismail yang turut hadir bersama menjayakan program berkenaan.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat memperkukuhkan keupayaan pegawai universiti dalam melaksanakan fungsi siasatan dan tadbir urus secara lebih sistematik, profesional dan berintegriti selaras dengan aspirasi pemerkasaan integriti sektor pendidikan tinggi negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button