Education

UUM Press sertai Asian Rights Fair 2026, perluas jaringan penerbitan di peringkat antarabangsa

Gambar Nur Atikah Zulkifli

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2026: Usaha memartabatkan karya ilmiah dan sastera tempatan ke peringkat antarabangsa terus melonjak apabila UUM Press tampil memperkukuhkan portfolio globalnya menerusi penyertaan dalam Asian Rights Fair (ARF) 2026.

Pesta perdagangan hak cipta berprestij yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 29 hingga 31 Mei lalu itu menjadi batu lonjakan penting buat penerbit universiti berkenaan dalam meneroka peluang pasaran baharu yang lebih meluas.

Majlis perasmian ARF 2026 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar bersama seluruh warga kerja agensi berkenaan.

Adibah menyatakan harapan agar lebih banyak negara akan menyertai penganjuran ARF pada masa hadapan.

Beliau menegaskan bahawa pesta ini berupaya menjadi jambatan yang merapatkan jurang bahasa dan budaya antara masyarakat dunia, sekali gus membolehkan cerita serta karya daripada pelbagai bahasa merentasi sempadan dan dikongsi kepada khalayak global.

Bertemakan “The Door to Quality Contents from Asia”, acara tahun ini berjaya menghimpunkan pemain industri buku, penulis, ejen hak cipta, pendidik, dan pencipta kandungan dari seluruh pelosok Asia untuk menjalinkan kerjasama strategik serta memperkenalkan kandungan berkualiti ke pasaran global.

Selain menyokong agenda pembinaan negara melalui budaya ilmu dan pembacaan, ARF 2026 turut berperanan memacu ekonomi buku menerusi penglibatan aktif peserta dari 26 buah negara, termasuk gergasi industri seperti China, Britain, Turkiye, dan India. Penyertaan antarabangsa yang agresif ini dilihat mampu merancakkan lagi perdagangan hak cipta, sekali gus melonjakkan kebolehpasaran karya-karya Malaysia di persada dunia.

Sepanjang tiga hari penganjuran, wakil UUM Press, Safa Masturina Mohd Sukri dan Nur Atikah Zulkifli memanfaatkan sepenuhnya pengisian slot profesional yang disediakan.

Selain sesi jaringan profesional dan rundingan hak cipta, mereka turut menyertai pelbagai forum industri yang mengupas trend semasa pasaran Asia Tenggara, strategi membawa karya tempatan menembusi pasaran global, serta pembentangan kemas kini industri penerbitan.

UUM Press di ARF 2026 bukan sekadar menyokong agenda ilmu, tetapi merupakan langkah kanan dalam membuktikan karya akademik tempatan mempunyai nilai komersial yang tinggi. Langkah proaktif ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu serta meletakkan nama penerbitan universiti tempatan sebaris dengan pemain industri global di peringkat antarabangsa. – Safa Masturina Mohd Sukri

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button