Resensi Buku UUM Press kupas isu pendidikan dan tsunami politik negara di PBAKL 2026
Gambar UUM Press
KUALA LUMPUR, 7 Jun 2026: UUM Press telah menganjurkan Resensi Buku Kedua bertempat di Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 pada 3 Jun lalu.
Sesi bual bicara ini menampilkan dua naskhah ilmiah baharu yang merungkai landskap pendidikan kontemporari serta pengaruh media baharu terhadap politik negara.

Majlis tersebut menampilkan dua orang penulis hebat iaitu Prof. Dr. Fauziah Abdul Rahim dari Pusat Pengajian Pendidikan UUM, dan Dr. Mumtaz Aini Alivi, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya (UM).
Melalui pembentangan buku pertama berjudul I Do Not Teach, I Mediate Learning, Dr. Fauziah mengajak golongan pendidik untuk menganjak paradigma daripada sekadar menyuap jawapan kepada menjadi ‘mediator’ dalam pembelajaran pelajar
“Yang paling penting bukan kita yang mengajar, tetapi sama ada pelajar itu belajar atau tidak,” katanya.
Buku ini memperincikan konsep mediasi yang mencabar minda pelajar melalui empat bentuk sokongan iaitu secara kognitif, afektif, metakognitif, dan persekitaran.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan ini penting untuk melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis pada era kepesatan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Dr. Mumtaz Aini menerusi karya bertajuk ‘Perubahan Media dan Tsunami Politik Malaysia’ pula mengupas secara mendalam peralihan kebergantungan masyarakat daripada media tradisional kepada media baharu sehingga mencetuskan peralihan tampuk pemerintahan kerajaan di negara ini.
Karya yang diadaptasi daripada kajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) ini digabungkan bersama pengalaman luas beliau selama 22 tahun sebagai pengamal media di RTM.
Menurutnya, masyarakat kini lebih dahagakan maklumat yang telus menerusi portal berita bebas dan media sosial berbanding maklumat berpusat yang dikawal ketat (gatekeeping) oleh media tradisional.
Bagaimanapun, beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian akibat kebebasan media baharu.

Oleh itu, beliau menggesa agar tahap literasi media dalam kalangan masyarakat dipertingkatkan agar mereka mampu menyaring maklumat serta menyemak silang kebenaran sesuatu berita sebelum membuat keputusan pilihan raya.
Secara keseluruhan, penerbitan kedua-dua naskhah ini membuktikan komitmen berterusan UUM Press dalam menyebarkan ilmu berimpak tinggi demi mendepani cabaran masa kini sama ada dalam mentransformasikan modal insan di bilik darjah, mahupun dalam memahami dinamika landskap politik tanah air. – Mohammad Amzari Bakri



