Kepakaran Klasifikasi Statistik UUM raih pengiktirafan antarabangsa, Pensyarah SQS diundang sebagai penceramah utama
Gambar Dr. Aliyu Muhammed Awwal
SINTOK, 11 Jun 2026: Satu lagi pengiktirafan antarabangsa berjaya diraih oleh warga akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid, Felo Institut Pemodelan Keputusan Industri Strategik (ISIDM), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah dijemput sebagai penceramah utama bersempena The 3rd International Symposium on Current Trends in Mathematical Sciences anjuran Gombe State University (GSU), Nigeria pada 5 dan 6 Jun lalu.
Jemputan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepakaran beliau dalam bidang statistik, klasifikasi serta pembangunan model klasifikasi statistik untuk data bercampur.

Simposium bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pelajar pascasiswazah dan pakar bidang matematik serta statistik dari pelbagai negara itu membawa tema “Mathematical Sciences: The Bedrock for Innovative Research in Applied Sciences”.
Sebagai penceramah utama, Dr. Hashibah telah berkongsi perkembangan terkini penyelidikan dalam bidang klasifikasi statistik, khususnya berkaitan pembangunan model baharu yang mampu meningkatkan ketepatan proses pengelasan data kompleks.
Kepakaran beliau dalam bidang ini telah mendapat perhatian komuniti akademik antarabangsa sehingga membawa kepada jemputan rasmi daripada pihak penganjur sebagai salah seorang tokoh yang mampu memberikan perspektif baharu kepada peserta simposium.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah memperkukuhkan reputasi SQS dan UUM di persada antarabangsa. Penyertaan sebagai keynote speaker pada platform akademik global sebegini membuka peluang untuk memperluaskan jaringan kolaborasi penyelidikan, penerbitan bersama, pertukaran kepakaran serta pembangunan projek penyelidikan rentas negara.

Selain itu, jemputan ini turut meningkatkan keterlihatan (visibility) bidang kepakaran yang diterajui oleh UUM dalam bidang statistik dan sains kuantitatif. Melalui perkongsian kepakaran tersebut, nama UUM berpeluang diperkenalkan kepada lebih ramai penyelidik, institusi pendidikan tinggi dan pelajar pascasiswazah di peringkat antarabangsa yang berpotensi menjadi rakan strategik pada masa hadapan.
Menariknya, impak awal daripada penglibatan ini telah mula dirasai apabila Dr. Hashibah turut dihubungi oleh seorang pelajar pascasiswazah dari luar negara yang menunjukkan minat untuk melanjutkan pengajian di bawah penyeliaan beliau.
Perkembangan ini membuktikan bahawa pengiktirafan antarabangsa yang diterima bukan sahaja meningkatkan reputasi akademik individu, malah berpotensi menyumbang kepada usaha pengantarabangsaan UUM melalui penarikan bakat dan pelajar antarabangsa yang berkualiti.

Kejayaan ini turut mencerminkan keyakinan komuniti akademik global terhadap keupayaan penyelidik UUM dalam menerajui bidang penyelidikan khusus serta menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan di peringkat antarabangsa. Ia selaras dengan aspirasi universiti untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi dan jaringan kolaborasi global yang mampan.
Dr. Hashibah menzahirkan penghargaan dan rasa syukur di atas kepercayaan serta pengiktirafan yang diberikan oleh komuniti akademik antarabangsa.
Beliau berharap penglibatan ini dapat membuka lebih banyak peluang kolaborasi penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pengantarabangsaan akademik yang seterusnya mengangkat nama UUM dan negara di peringkat global. – Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid



