Penjawat awam UUM perkukuh integriti dan profesionalisme dengan keluhuran undang-undang
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 14 Jun 2026: Pemahaman mendalam terhadap prinsip keluhuran undang-undang dan pematuhan kepada peraturan merupakan elemen penting dalam memperkukuhkan integriti, profesionalisme serta tadbir urus yang baik dalam kalangan penjawat awam di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Perkara ini ditekankan dalam Bengkel Sinergi Undang-undang, Integriti dan Anti Rasuah: Memperkasa Amalan Pentadbiran Berlandaskan Perundangan Siri 1 yang menghimpunkan warga universiti terdiri daripada penjawat utama bagi meningkatkan kefahaman mengenai tanggungjawab serta peranan penjawat awam dalam melaksanakan amanah berlandaskan perlembagaan dan undang-undang negara.
Dalam ucaptama Hakim Utama Mahkamah Tinggi Negeri Perlis, Yang Arif Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menjelaskan bahawa konsep keluhuran undang-undang mempunyai kaitan yang rapat dengan prinsip Rukun Negara, khususnya Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang yang menjadi tunjang kepada kestabilan serta keharmonian negara.
Menurutnya, setiap tindakan dan keputusan yang dibuat oleh penjawat awam hendaklah berpandukan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Katanya, undang-undang yang berkuat kuasa bukan sahaja merangkumi akta yang diluluskan Parlimen, malah turut melibatkan ordinan, enakmen negeri dan perundangan subsidiari seperti peraturan, kaedah, perintah serta arahan pentadbiran.
“Penjawat awam memainkan peranan penting dalam melaksanakan fungsi awam yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Mereka bertanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan, mengurus pentadbiran dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat secara profesional serta berintegriti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kesetiaan penjawat awam perlu difahami dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Pada masa sama, penjawat awam bertanggungjawab melaksanakan dasar yang diputuskan oleh kerajaan yang sah tanpa dipengaruhi oleh kecenderungan politik peribadi.

“Profesionalisme dan sikap berkecuali adalah antara prinsip utama yang perlu dipegang oleh setiap penjawat awam dalam melaksanakan tugas demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam ucapan alu-aluannya berkata, selain memahami skop tugas masing-masing, warga universiti juga perlu mempunyai pengetahuan yang kukuh mengenai peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan pelaksanaan tugas harian.
Menurutnya, pemahaman tersebut amat penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi tatacara yang ditetapkan serta mengelakkan sebarang pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan imej dan reputasi institusi.
“Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan institusi pengajian tinggi mendapat perhatian media. Walaupun tidak wajar membuat generalisasi terhadap semua universiti berdasarkan kes terpencil, perkara ini perlu dijadikan peringatan agar aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan sentiasa diperkasakan,” katanya.

Dr. Ahmad Martadha berkata, usaha berterusan melalui pelbagai program pembangunan kompetensi yang dianjurkan oleh universiti bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga kerja terhadap aspek perundangan, integriti dan tadbir urus.
Beliau turut menegaskan bahawa kejahilan terhadap undang-undang tidak boleh dijadikan alasan dalam pelaksanaan tugas.
Justeru, menurutnya, warga universiti perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan mereka selaras dengan perubahan dasar dan perundangan semasa termasuk pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang memberi implikasi kepada pengurusan institusi pengajian tinggi.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi ruang untuk memperoleh ilmu, malah membuka peluang kepada peserta untuk bertukar pandangan dengan pakar-pakar daripada pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat penasihat undang-undang,” katanya.
Beliau berharap kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta sebagai platform untuk memperkukuhkan jati diri, meningkatkan profesionalisme serta memastikan setiap keputusan dan tindakan yang diambil sentiasa selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Bengkel ini mencerminkan komitmen universiti dalam membudayakan tadbir urus yang baik, memperkukuhkan integriti organisasi dan melahirkan warga kerja yang berpengetahuan, beretika serta sentiasa menjunjung prinsip keluhuran undang-undang dalam melaksanakan amanah kepada institusi, masyarakat dan negara.
Hari pertama bengkel diteruskan dengan ceramah 1 oleh Pengerusi Majlis Bendahari Universiti Awam (MBUA), Mohamad Najib Mohamed bertajuk ‘Ekosistem Kemampanan Kewangan Universiti’, diikuti forum bertajuk ‘UA Lubuk Rasuah?’ bersama tiga panel iaitu Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Kedah, PPj Syed Aswadi Syed Soffian; Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Kontinjen Kedah, DSP Nazaruddin Ibrahim dan Naib Canselor UUM serta moderator, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed, Penasihat Undang-undang UUM.
Pada keesokan hari, bengkel diteruskan dengan sesi ceramah 2 oleh Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah dengan tajuk ‘Pentadbiran dan Pengurusan Organisasi: Isu dan Cabaran’, diikuti ceramah 3 bersama Penasihat Undang-undang Kementerian Pendidikan Tinggi, Fatin Khazin dengan tajuk ‘Implikasi Perundangan Dalam Pengurusan Kontrak Universiti (Kajian Kes) – Isu Pengurusan Kontrak Universiti: Kontrak Perolehan, Kontrak Perkhidmatan dan Kontrak Pembinaan’.
Penasihat Undang-undang UUM turut membuat kajian kes dan pembentangan pada hari terakhir Bengkel Sinergi Undang-undang, Integriti dan Anti Rasuah sebelum bersurai.



