Campus

OCBC Bank dekati pelajar SEFB, sediakan pendedahan industri dan peluang kerjaya

Gambar Muhammad Haziq Irfan Tajul Ashkeen

SINTOK, 14 Jun 2026: Dalam usaha memperkukuhkan kebolehpasaran graduan serta melahirkan pelajar yang holistik dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program OCBC Campus Circle bersama OCBC Bank di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM, baru-baru ini.

Program itu menghimpunkan pelajar SEFB bagi mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai keperluan industri perbankan, peluang kerjaya serta kemahiran yang diperlukan oleh majikan dalam pasaran pekerjaan yang semakin dinamik dan kompetitif.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SEFB, Dr. Edie Erman Che Johari yang mewakili Dekan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran program seumpama ini merupakan platform penting dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.

Menurutnya, hubungan strategik dengan pemain industri bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar, malah membantu mereka memahami kehendak sebenar majikan serta keperluan semasa pasaran kerja.

Dr. Edie Erman turut menekankan bahawa pembangunan graduan pada masa kini tidak boleh hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya graduan perlu dilengkapi dengan kemahiran insaniah, profesionalisme, kebolehan berkomunikasi, pemikiran kritis serta daya adaptasi yang tinggi bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Program diteruskan dengan sesi pengenalan organisasi dan peluang kerjaya yang disampaikan oleh Talent Acquisition Advisory, OCBC Bank, Tan Ai Sen. Dalam sesi tersebut, beliau memperkenalkan latar belakang organisasi serta berkongsi maklumat mengenai pelbagai peluang pekerjaan, program pembangunan bakat dan laluan kerjaya yang ditawarkan oleh OCBC Bank kepada graduan baharu.

Seterusnya, peserta berpeluang mengikuti sesi perkongsian bertajuk pembangunan kerjaya dalam industri perbankan yang disampaikan oleh Alex Tan yang merupakan Northern Region Cluster Manager, OCBC Bank di mana beliau berkongsi pengalaman sepanjang lebih 25 tahun berkhidmat dalam industri perbankan serta menjelaskan realiti sebenar dunia pekerjaan, termasuk cabaran yang perlu ditempuhi dan kompetensi yang perlu dikuasai oleh graduan untuk berjaya dalam sektor tersebut.

Perkongsian tersebut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai realiti kerjaya dan keperluan industri perbankan. Sesi soal jawab yang berlangsung selepas itu turut memberi peluang kepada pelajar untuk menambah pengetahuan serta berinteraksi secara langsung dengan wakil industri.

Program diakhiri dengan sesi temuduga yang dikendalikan oleh empat panel penemuduga daripada OCBC Bank melibatkan 12 orng pelajar terpilih untuk menjalani latihan industridi bank tersebut.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan SEFB dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penglibatan industri yang aktif, bermakna dan berimpak tinggi.

Penganjuran program ini turut mencerminkan kesungguhan SEFB dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan berasaskan industri, sekali gus memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik yang kukuh, malah memenuhi keperluan dan jangkaan majikan pada peringkat nasional dan global. – Muhammad Haziq Irfan Tajul Ashkeen

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button