CeTMA UUM adakan kunjungan strategik ke Politeknik Ungku Omar
Berita dan gambar Nabila Ayuni Saiful Bahari
IPOH, 15 Jun 2026: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan strategik ke Politeknik Ungku Omar (PUO) bagi meneroka serta memperkukuhkan potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, perundingan, latihan dan pembangunan kapasiti antara kedua-dua institusi.
Delegasi CeTMA diketuai Pengarah CeTMA UUM, Prof. Madya Dr. Zahayu Md. Yusof telah disambut oleh wakil pengurusan PUO yang diketuai oleh Ketua Corporate, Industrial Services and Employability Centre (CISEC), Dr. Adzuieen Nordin yang mewakili Pengarah PUO.

Turut hadir ialah Pegawai Kolaborasi, Ts. Dr. Fizatul Aini Patakor dan Ketua Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Ahmad Fakhrudin Mohamed Yusoff.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk pelaksanaan kajian kepuasan industri, TVET Industry Readiness Assessment, pembangunan dashboard analitik, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah serta penganjuran latihan berkaitan kaedah penyelidikan dan penulisan artikel berimpak.
Dr. Zahayu berkata, kunjungan strategik ini mencerminkan komitmen CeTMA dalam memperluaskan jaringan kolaborasi strategik bersama institusi TVET bagi memperkukuhkan agenda penyelidikan, pengukuran, penilaian dan pembangunan kapasiti yang memberi impak kepada pembangunan pendidikan tinggi negara.
“CeTMA sentiasa komited untuk berkongsi kepakaran dalam bidang pengujian, pengukuran, penilaian dan analitik data.

“Kerjasama bersama PUO ini berpotensi membuka lebih banyak ruang kolaborasi yang dapat memberi nilai tambah kepada kedua-dua institusi serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi dan TVET negara,” katanya.
Beliau turut berharap agar perbincangan yang diadakan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek, penyelidikan dan program pembangunan kapasiti secara bersama pada masa hadapan.
Kunjungan strategik ini diharapkan menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara CeTMA UUM dan PUO dalam memperkukuhkan budaya penyelidikan, inovasi serta pengukuran berasaskan data demi menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi dan TVET negara.



