From Campus to Career X Akademi Kenegaraan Malaysia” dedah pelajar kepada dunia sebenar selepas graduasi
Berita dan gambar Anis Nur Suffia Kamanor
SINTOK, 21 Jun 2026: Program From Campus to Career X Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) telah berjaya dianjurkan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) mengenai persediaan memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian, di samping memperkukuhkan aspek jati diri, kepimpinan dan semangat kenegaraan.

Program tersebut menampilkan sesi perkongsian bersama alumni UUM menerusi tajuk “Realiti Selepas Graduasi”, yang berkongsi pengalaman serta cabaran sebenar dalam dunia pekerjaan, selain memberi peluang kepada pelajar memahami realiti alam kerjaya, keperluan industri semasa serta kemahiran yang perlu dikuasai bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Turut berlangsung ialah Sesi Interaktif Kenegaraan bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang memberi penekanan kepada pembangunan jati diri, semangat patriotisme, perpaduan serta tanggungjawab mahasiswa sebagai bakal pemimpin dan warganegara.
Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) itu bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa untuk memperoleh pendedahan berkaitan dunia kerjaya, pembangunan sahsiah serta nilai kenegaraan sebagai persediaan menghadapi cabaran selepas tamat pengajian.

Inisiatif penganjuran program ini telah dicetuskan oleh Pengarah Program merangkap Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) STHEM, Jevaprakash Rengasamy yang melihat keperluan untuk menyediakan ruang kepada pelajar memahami realiti dunia pekerjaan, di samping memperkukuhkan jati diri dan semangat kenegaraan.
Jevaprakash percaya bahawa pendedahan awal kepada cabaran kerjaya serta pengukuhan nilai patriotisme mampu melahirkan graduan yang lebih holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan.
Menurutnya, program tersebut merupakan satu inisiatif yang menggabungkan elemen pembangunan kerjaya dan kenegaraan bagi melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bersedia memasuki alam pekerjaan, malah memiliki sahsiah dan nilai yang kukuh.
“Selain persediaan akademik dan kerjaya, pelajar perlu mempunyai jati diri yang kukuh, semangat patriotisme serta kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai warganegara.
“Selain persediaan akademik dan kerjaya, pelajar juga perlu mempunyai jati diri yang kukuh, semangat patriotisme serta kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai warganegara. Justeru, sesi ini diharapkan dapat memberi pendedahan yang lebih luas mengenai nilai kenegaraan, perpaduan serta kepentingan membina generasi yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing,” katanya.

Gabungan perkongsian alumni dan pengisian daripada AKM memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam memahami realiti dunia kerjaya serta kepentingan pembentukan karakter yang baik sebagai graduan.
Program ini turut membuka ruang interaksi secara langsung antara peserta, alumni dan wakil AKM melalui sesi soal jawab yang membolehkan mahasiswa mendapatkan panduan kerjaya, perkongsian pengalaman serta perspektif yang lebih jelas mengenai cabaran selepas tamat pengajian.
Jevaprakash berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai alumni dan kerjasama berterusan bersama AKM bagi memastikan pelajar UUM sentiasa bersedia menghadapi alam pekerjaan serta mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.
“Kejayaan program ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah bersedia dari aspek kemahiran, sahsiah dan jati diri untuk bersaing dalam dunia kerjaya serta menjadi warganegara yang bertanggungjawab,” katanya.



