Pasukan Boling IBS UUM raih kejayaan dalam Kejohanan Boling Tenpin PERSATU 2026
Gambar Mohd. Saharudin Shakrani
ALOR SETAR, 6 Julai 2026: Penyertaan tiga pasukan boling iaitu Bimasakti, Belang Tarung, dan Satria Naga dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Kejohanan Boling Tenpin PERSATU 2026 membuahkan hasil membanggakan apabila berjaya merangkul beberapa anugerah.

Pasukan Belang Tarung IBS yang dianggotai oleh Dr. Raja Rizal Iskandar Raja Hisham, Mejar Prof. Madya Dr. Mohd Adib Abd Muin, Mohamad I’rfan Shahruddin dan Dr. Asma Nurul ‘Aqilah Mahpuz muncul sebagai Naib Johan selepas mencatatkan 1,578 jatuhan pin, sekali gus membawa pulang piala serta wang tunai berjumlah RM400.
Kejayaan tersebut turut disusuli pencapaian individu apabila Mohamad I’rfan dinobatkan sebagai penerima anugerah Jatuhan Pin Tertinggi Satu Perlawanan selepas mencatatkan 211 jatuhan pin, sekali gus membawa pulang piala dan wang tunai RM100.
Sementara itu, pasukan Bimasakti IBS yang diwakili oleh Dr. Muhammad Fakhirin Che Majid, Dr. Muhamad Abrar Bahaman, Dr. Tubagus Thresna Irijianto dan Dr. Nor Syahidah Ishak turut menerima pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Pasukan Paling Sporting dalam kejohanan tersebut.

Pasukan Satria Naga IBS yang dianggotai oleh Dr. Amirul Faiz Osman, Mohd. Saharudin Shakrani, Dr. Mohamad Yazid Isa serta Dr. Nor Aina Mhd Khotib turut memberikan saingan sengit kerana berjaya menempatkan diri dalam 10 pasukan terbaik keseluruhan.
Kejohanan Boling Tenpin PERSATU 2026 yang berlangsung di Aman Bowl, Alor Setar itu disertai oleh 18 pasukan melibatkan 72 pensyarah UUM bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli akademik universiti.
Dr. Muhammad Fakhirin berkata, kejayaan tersebut merupakan satu kemenangan berganda dan kenangan manis buat dirinya, apabila detik bersejarah itu jatuh pada ulang tahun kelahiran beliau serta diserikan lagi dengan kejayaan pasukan boling IBS.
Pencapaian cemerlang yang diraih oleh pasukan IBS membuktikan komitmen, semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga IBS.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Pusat Pengajian Perniagaan Islam, malah mencerminkan budaya kecemerlangan yang sentiasa diterapkan dalam setiap penyertaan sukan di peringkat universiti. – Dr. Mohamad Yazid Isa dan Dr. Muhammad Fakhirin Che Majid



