Education

HRM Experiential Learning Programme perkasa pengetahuan pelajar STHEM

Gambar STHEM

LANGKAWI, 6 Julai 2026: Seramai 81 pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Hospitaliti, Pelancongan dan Acara (STHEM) telah menyertai program HRM Experiential Learning Programme: Industry & Community Engagement in Langkawi yang melibatkan pelajar kursus Human Resource Management in Tourism and Hospitality (GHZPK4033).

Program yang diketuai oleh Pensyarah Kursus, Muhammad Zulhilmi Zulkurnain ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada pelajar mengenai amalan sebenar Pengurusan Sumber Manusia (HR) dalam industri, khususnya sektor hospitaliti dan pelancongan.

Selain itu, menurutnya, program ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis serta keupayaan menangani cabaran melalui interaksi secara langsung dengan pihak industri.

Katanya, program ini turut berfungsi sebagai platform yang menghubungkan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dengan situasi sebenar di tempat kerja.

“Disiplin, kepimpinan dan kemahiran menyelesaikan masalah merupakan elemen penting yang dapat membentuk keperibadian berkualiti serta melahirkan bakal profesional dalam bidang sumber manusia pada masa hadapan,” katanya.

Program ini telah dijalankan dengan kerjasama Adya Hotel yang memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai operasi sebenar pengurusan sumber manusia dalam industri perhotelan.

Dalam sesi perkongsian tersebut, wakil Adya Hotel, Muzamil Dzulyadin menjelaskan keunikan serta cabaran pengurusan sumber manusia dalam sektor hotel yang beroperasi 24 jam sehari.

Beliau turut menekankan kepentingan komitmen dan disiplin yang tinggi dalam kalangan pekerja hotel.

“Sebagai pekerja hotel, kita perlu sentiasa bersikap profesional kerana setiap tindakan dan tingkah laku pekerja mencerminkan imej sesebuah hotel,” katanya.

Selain itu, peserta turut berpeluang mengadakan lawatan santai ke Langkawi SkyCab dan Sky Bridge bagi menikmati keindahan panorama Pulau Langkawi. Aktiviti ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pelancong tempatan dan antarabangsa serta mendapatkan pandangan mereka mengenai pengalaman melancong di Malaysia.

Pada hari kedua program, peserta telah menyertai lawatan ke Kilim Geoforest Park (Mangrove Tour) bagi meneroka keunikan ekosistem bakau serta sejarah dan geologi Pulau Langkawi. Antara lokasi menarik yang dikunjungi ialah Gua Buaya, Gua Kelawar, Gunung Kasut dan kawasan habitat helang yang terkenal di Langkawi.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) di sekitar Pantai Chenang yang bertemakan kesedaran ekopelancongan (ecotourism). Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif bagi meningkatkan kesedaran pelancong tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah perkongsian mengenai penjagaan kebersihan pantai, penggunaan peralatan yang sesuai semasa melancong, serta panduan tentang amalan yang wajar dan tidak wajar dilakukan ketika mengunjungi destinasi pelancongan.

Aktiviti CSR ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang peranan pengurusan sumber manusia dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat kepada masyarakat serta alam sekitar.

Melalui aktiviti ini, pelajar turut berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam kursus Human Resource Management in Tourism and Hospitality, khususnya berkaitan pembangunan pekerja, kerja berpasukan, kepimpinan, komunikasi serta penglibatan komuniti sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan sumber manusia yang mampan.

Secara keseluruhannya, objektif program telah berjaya dicapai melalui penglibatan aktif semua peserta sepanjang program berlangsung. Program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan dan pemahaman pelajar mengenai pengurusan sumber manusia dalam industri hospitaliti, malah turut mengeratkan hubungan sesama peserta serta memupuk semangat kerjasama, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

Program ini diharapkan akan terus menjadi platform pembelajaran berimpak tinggi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan pada masa hadapan. – Nurul Shafiqa Muhammad Ali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button