Campus

Flashmob ASBES-STOP NOW tarik perhatian komuniti terhadap bahaya asbestos

Berita dan gambar Shurendar Seva Kumar

SINTOK, 7 Julai 2026: Aktiviti Flashmob ASBES-STOP NOW: The Air You Trust Matters berjaya menarik perhatian warga Universiti Utara Malaysia (UUM) dan masyarakat Changlun dalam menyebarkan kesedaran mengenai bahaya asbestos melalui pendekatan komunikasi kreatif.

Program tersebut dianjurkan oleh pelajar SCCAK2073 Perhubungan Awam Kumpulan B, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), UUM dengan kerjasama Consumers’ Association of Penang (CAP) sebagai sebahagian daripada Kempen Kesedaran ASBES-STOP NOW yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai risiko pendedahan asbestos.

Flashmob diadakan di dua lokasi tumpuan iaitu Varsity Mall (VMall), UUM dan C-Mart Changlun bagi memastikan mesej kesedaran dapat disampaikan bukan sahaja kepada warga kampus, malah kepada komuniti setempat.

Persembahan yang berlangsung secara spontan berjaya menarik perhatian pengunjung yang sedang membeli-belah dan melalui kawasan tersebut untuk menyaksikan persembahan sebelum mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen yang dijalankan.

Aktiviti flashmob disampaikan melalui gabungan pergerakan, slogan dan visual yang mengetengahkan bahaya asbestos terhadap kesihatan. Pendekatan itu digunakan bagi menyampaikan mesej kesedaran dengan lebih santai, mudah difahami dan dekat dengan masyarakat.

Ketua Aktiviti, Muhammad Daniel Hawazim berkata, konsep flashmob dipilih kerana mampu menarik perhatian orang ramai dalam tempoh yang singkat tanpa mengganggu aktiviti harian mereka.

Menurutnya, pendekatan komunikasi secara langsung lebih berkesan dalam membangkitkan rasa ingin tahu masyarakat terhadap isu yang kurang diberi perhatian.

“Apabila orang ramai berhenti untuk melihat persembahan kami, ia membuka ruang untuk kami berkongsi maklumat mengenai asbestos. Daripada situ, mereka mula bertanya soalan dan menunjukkan minat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bahaya bahan tersebut,” katanya.

Sementara itu, pelajar UUM, Sajni Nagalingam menyifatkan pendekatan yang digunakan sebagai kreatif dan berbeza daripada kempen kesedaran yang lazim diadakan.

Menurutnya, penyampaian mesej melalui flashmob menjadikan maklumat lebih mudah diingati kerana dipersembahkan secara interaktif dan menarik perhatian.

Katanya, sebelum menyaksikan persembahan tersebut, dia hanya mengetahui asbestos secara umum tanpa memahami kesan sebenar terhadap kesihatan.

“Program seperti ini, katanya, membantu meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda mengenai isu kesihatan yang jarang dibincangkan,” katanya.

Selain persembahan flashmob, ahli jawatankuasa turut mengedarkan bahan penerangan dan berinteraksi dengan pengunjung bagi menjelaskan risiko pendedahan asbestos, selain orang ramai turut diberi peluang bertanyakan soalan serta mendapatkan maklumat mengenai langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan.

Flashmob ini turut memperlihatkan bagaimana ilmu perhubungan awam dapat diterjemahkan melalui aktiviti lapangan yang kreatif dan berimpak tinggi. Pendekatan komunikasi secara bersemuka bukan sahaja meningkatkan kefahaman masyarakat, malah menggalakkan interaksi dua hala antara pelajar dan komuniti.

Penganjuran Flashmob ASBES-STOP NOW: The Air You Trust Matters diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kesedaran kesihatan awam pada masa hadapan. Usaha ini sekaligus membuktikan bahawa pelajar mampu memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej yang memberi manfaat kepada masyarakat melalui komunikasi yang kreatif, inklusif dan berkesan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button