UUM perkasa agenda transformasi melalui enam teras strategik, pacu reputasi global dan kelestarian institusi
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 8 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda transformasi institusi menerusi pelaksanaan Pelan Strategik Fasa 4 (2026-2030) yang memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, pengantarabangsaan, penyelidikan berimpak, pembangunan mahasiswa, kelestarian kewangan, pengukuhan kepimpinan serta tadbir urus yang cekap bagi memastikan universiti terus kekal relevan dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.
Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelan strategik tersebut menjadi panduan kepada semua pusat pengajian, jabatan dan pusat tanggungjawab dalam merangka tindakan serta mencapai sasaran yang telah ditetapkan selaras dengan visi universiti untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka.

Menurutnya, walaupun visi universiti sedang melalui proses semakan bersama Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan pihak berkepentingan, matlamat tersebut masih kekal sebagai hala tuju utama UUM.
“Kita mahu UUM terus menjadi universiti yang menjadi rujukan dalam bidang pengurusan, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global,” katanya di Majlis Apresiasi Pelan Strategik dan Pembentangan Pencapaian Sukuan Kedua Pelan Strategik 2026 di EDC-UUM, hari ini.
Beliau berkata, misi universiti untuk mendidik pemimpin berwatak holistik yang berbakti kepada komuniti global menjadi asas kepada setiap inisiatif yang dilaksanakan, sejajar dengan aspirasi pengantarabangsaan yang telah menjadi agenda universiti sejak sekian lama.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, enam teras strategik telah diperkenalkan iaitu meningkatkan keunggulan akademik dan pengaruh global; memanfaatkan penyelidikan, inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan untuk kesejahteraan masyarakat; menjulang mahasiswa menampilkan adab; memperkukuh model baharu kelestarian kewangan; mengukuhkan kepimpinan menggemilang institusi; serta menjunjung tatakelola dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Beliau menjelaskan bahawa setiap hasil penyelidikan perlu menghasilkan impak yang lebih besar kepada masyarakat dan industri melalui pengkomersialan serta inovasi, bukan sekadar diterbitkan dalam jurnal atau disimpan sebagai laporan penyelidikan.
Dalam aspek pembangunan mahasiswa pula, beliau menegaskan bahawa UUM komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai, sahsiah, kepimpinan dan adab yang tinggi selaras dengan aspirasi universiti.
Pada masa sama, universiti akan terus memperkukuhkan kelestarian kewangan melalui penerokaan sumber pendapatan baharu, memperluaskan jaringan industri serta meningkatkan penjanaan hasil bagi mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa semua pemimpin di peringkat pusat pengajian dan pusat tanggungjawab perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuhkan kebolehpasaran graduan melalui hubungan strategik bersama industri dan majikan.

Mengulas mengenai reputasi institusi, beliau berkata seluruh warga universiti perlu menjadi benteng utama dalam mempertahankan nama baik UUM daripada pelbagai persepsi negatif yang semakin banyak diperkatakan terhadap institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, universiti telah memberikan penjelasan terhadap beberapa isu berkaitan kemasukan melalui saluran terbuka dan pengambilan pelajar antarabangsa, namun usaha mempertahankan reputasi universiti tidak boleh digalas oleh pihak pengurusan semata-mata.
Sebaliknya, semua warga universiti perlu memainkan peranan melalui pelbagai platform termasuk media sosial, penulisan, perkongsian ilmu dan jaringan profesional bagi memastikan fakta yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.
Beliau turut menggesa ahli akademik meningkatkan keterlihatan kesarjanaan melalui penulisan di media massa, penglibatan aktif dalam organisasi profesional, jawatankuasa kebangsaan dan antarabangsa serta jaringan akademik global, di samping menjadikan aspek tersebut sebagai antara elemen penting dalam pembangunan kerjaya dan kenaikan pangkat.
Katanya, peningkatan reputasi akademik memberi kesan langsung terhadap kedudukan universiti dalam penarafan antarabangsa, sekali gus mempengaruhi keyakinan pelajar, khususnya pelajar antarabangsa, untuk memilih UUM sebagai destinasi pengajian.

Dalam usaha memperluaskan pasaran pendidikan, UUM turut merancang melaksanakan Program Foundation in English di China sebagai laluan kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti.
Selain itu, UUM Kampus Kuala Lumpur akan diperkasakan sebagai kampus satelit dengan menawarkan lebih banyak program prasiswazah dan pascasiswazah, di samping menjadi hab promosi dan pengambilan pelajar yang lebih aktif.
Beliau berkata, banyak universiti awam kini memperkukuh kehadiran mereka di Kuala Lumpur, justeru UUM perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan sedia ada bagi meningkatkan daya saing institusi.
Dalam aspek tadbir urus, beliau memaklumkan bahawa proses kelulusan memorandum persefahaman (MoU) kini dapat dilaksanakan dengan lebih pantas selepas kuasa tertentu diperturunkan kepada LPU, sekali gus mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan pelaksanaan kerjasama strategik.
Beliau turut mengumumkan beberapa kejayaan terkini universiti, termasuk pengambilan kohort pertama seramai 96 kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) untuk mengikuti program sarjana serta kerjasama dengan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) yang berjaya menarik penyertaan pelajar pascasiswazah.
Menurutnya, usaha menarik lebih ramai pelajar pascasiswazah dan pelajar antarabangsa akan terus dipergiatkan kerana kedua-dua kelompok tersebut menjadi antara penyumbang utama kepada kelestarian kewangan universiti.

Dalam pada itu, beliau berkata UUM sentiasa mengadakan libat urus bersama kementerian, agensi kerajaan dan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memastikan program akademik sentiasa memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
Antara inisiatif yang sedang diberi perhatian ialah memperluaskan peluang graduan perakaunan memasuki sektor awam, memperkukuh pensijilan profesional dalam program pengajian serta memperkenalkan lebih banyak program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) bagi memenuhi keperluan pembelajaran fleksibel.
Beliau turut mengingatkan semua warga universiti supaya mengamalkan budaya kerja yang berteraskan nilai bersama KRISTAL, iaitu komited, responsif, berakauntabiliti, berintegriti, bersinergi dan berorientasikan kelestarian dalam setiap tindakan serta keputusan yang diambil.
Katanya, setiap pemimpin perlu bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul dan meninggalkan legasi yang mampu diteruskan oleh kepimpinan akan datang demi memastikan agenda transformasi universiti terus lestari.
Bagi memastikan setiap teras strategik dilaksanakan dengan berkesan, tanggungjawab memacu enam teras tersebut telah diagihkan kepada semua anggota pengurusan tertinggi universiti mengikut bidang kepakaran masing-masing, manakala sistem pemantauan prestasi turut ditambah baik dengan pendekatan penilaian yang lebih mencabar dan berimpak.

Naib Canselor berkata, universiti tidak lagi mahu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang mudah dicapai, sebaliknya mahu setiap sasaran benar-benar mendorong peningkatan prestasi, inovasi dan kecemerlangan organisasi.
Sehingga suku kedua tahun ini, prestasi keseluruhan Pelan Strategik UUM mencatat pencapaian 77.6 peratus, manakala 69 daripada 143 petunjuk prestasi utama (48 peratus) telah mencapai sasaran sepenuhnya.
Beliau menjelaskan bahawa beberapa indikator utama hanya akan dinilai pada separuh kedua tahun ini dan dijangka meningkatkan lagi pencapaian universiti menjelang akhir tahun.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh warga UUM supaya terus memperkukuhkan semangat kebersamaan, bekerja melangkaui zon selesa, saling menyokong serta memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan agenda transformasi universiti demi memastikan UUM terus muncul sebagai universiti pengurusan terkemuka yang disegani di peringkat nasional dan antarabangsa.
Turut diadakan Majlis Apresiasi Pelan Strategik UUM 2026 dengan penyampaian kepada 49 anugerah dan penyampaian surat lantikan kepada enam pemacu.



