Education

Temu Duga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan UUM di Zon Sabah erat kerjasama UUM–UMS

Gambar Dr. Saifolrudin Khalid Mahzan

KOTA KINABALU, 9 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan komitmennya dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti apabila berjaya melaksanakan sesi temu duga kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Zon Sabah pada 7 hingga 8 Julai lalu.

Program yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan seramai 32 calon dari seluruh negeri Sabah yang hadir bagi mengikuti sesi temu duga sebagai sebahagian daripada proses pemilihan kemasukan ke program pendidikan UUM.

Pelaksanaan sesi temu duga tersebut turut mencerminkan hubungan strategik yang semakin kukuh antara UUM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui kerjasama erat bersama Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, UMS.

Fakulti berkenaan telah menyediakan kemudahan serta ruang temu duga yang kondusif bagi memastikan keseluruhan proses berjalan lancar dan mendapat sokongan penuh daripada Dekan, Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh.

Delegasi UUM diketuai oleh dua pensyarah daripada Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) iaitu Prof. Madya Dr. Ts. Irwan Mahazir Ismail dan Dr. Saifolrudin Khalid Mahzan yang bertanggungjawab mengendalikan sesi temu duga serta penilaian calon.

Dr. Ts. Irwan Mahazir berkata, program ini turut membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk berkongsi kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan program pendidikan.

Perbincangan yang berlangsung sepanjang program memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan kualiti program akademik, sejajar dengan standard dan keperluan yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kerjasama strategik antara UUM dan UMS ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif akademik pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pembangunan modal insan.

Pada masa yang sama, ia memperlihatkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperluaskan peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat di Sabah serta melahirkan bakal pendidik yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pendidikan negara. – Prof. Madya Ts. Dr. Irwan Mahazir Ismail

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button