Jejak Makanan Tradisi Kedah: Kerabu Daging Mentah warisan unik Pendang
Berita dan gambar Umme Umaimah Amin
PENDANG, 6 Ogos 2026: Di sebalik keriuhan majlis kenduri dan persiapan berbuka puasa di daerah Pendang, terdapat satu bunyi yang cukup sinonim dalam kalangan penduduk setempat iaitu bunyi mata pisau mencincang daging di atas papan pemotong kayu.
Bagi masyarakat di sini, bunyi tersebut menjadi petanda bahawa Kerabu Daging Mentah, hidangan tradisi yang diwarisi turun-temurun, sedang disediakan.

Keunikan makanan warisan ini direkodkan menerusi kerja lapangan di bawah Geran Penjanaan bertajuk Mapping Kedah’s Culinary Heritage: Positioning Traditional Food for Potential Gastro-Tourism Destination Attractiveness yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) bertujuan untuk mengenal pasti, mendokumentasi dan memetakan makanan tradisi Kedah sebagai warisan gastronomi yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan identiti masyarakat tempatan.
Penyelidik UUM, Umme Umaimah Amin berkata, hasil temu bual bersama pengamal makanan tradisi yang mesra dikenali sebagai Wa Zainab dan Long Aishah, Kerabu Daging Mentah dipercayai dipengaruhi oleh masyarakat berketurunan Pattani, Thailand dan telah lama menjadi hidangan tradisi masyarakat Pendang.
Hidangan ini lazim disediakan ketika bulan Ramadan sebagai juadah berbuka puasa serta menjadi sajian istimewa dalam majlis kenduri, khususnya untuk petugas di bahagian dapur.
Menurut informan, “Kalau dengar bunyi ini, kami tahu jiran sedang mencincang daging untuk menyediakan Kerabu Daging Mentah.”

Bunyi tersebut menjadi sebahagian daripada memori budaya masyarakat Pendang dan mencerminkan hubungan sosial yang akrab dalam komuniti setempat.
Keistimewaan Kerabu Daging Mentah turut terserlah melalui teknik penyediaannya yang tidak menggunakan api. Daging lembu yang baru disembelih dicincang sehingga lumat sebelum “dimatikan” menggunakan air limau nipis.
Proses tersebut mengubah tekstur dan rasa daging sehingga tidak lagi menyerupai daging mentah, sekali gus menghasilkan hidangan yang lembut dengan gabungan rasa masam dan berlemak yang menjadi identitinya. Bagi menghasilkan kerabu yang berkualiti, penggunaan daging segar daripada bahagian batang pinang menjadi pilihan kerana teksturnya yang lembut, kurang berlemak dan mempunyai rasa yang lebih manis.
Bahan-bahan lain seperti serai, halia, cili, santan, kerisik dan beras sangai melengkapkan aroma, rasa serta tekstur hidangan tradisi ini, sekali gus mengekalkan keaslian resipi yang diwarisi sejak sekian lama.
Bagi mereka yang pertama kali mencubanya, hidangan ini mungkin tidak disangka menggunakan daging mentah kerana rupa, tekstur dan rasanya telah berubah sepenuhnya. Gabungan rasa lemak daripada santan dan kerisik, kemasaman limau, kepedasan cili serta tekstur rangup daripada beras sangai menjadikan hidangan ini unik dan seimbang.

Keunikan tersebut membuktikan kebijaksanaan masyarakat terdahulu dalam mengolah bahan tempatan menjadi hidangan yang lazat dan mempunyai identiti tersendiri.
Walaupun Kerabu Daging Mentah masih menjadi kegemaran generasi terdahulu dalam masyarakat Pendang, terdapat kebimbangan terhadap kelangsungan warisan kulinari ini dalam kalangan generasi muda.
Sekiranya pengetahuan berkaitan resipi dan teknik penyediaannya tidak dipindahkan kepada generasi seterusnya, hidangan tradisi yang unik ini berisiko hilang ditelan zaman.



