Sports

SUKUM Ke-46: Pasukan Bola Jaring UUM capai fasa kemuncak latihan intensif

Gambar Nor Fauzian Kassim dan Nur Shaqeena Mohd Razali

SINTOK, 6 Ogos 2026: Pasukan Bola Jaring Universiti Utara Malaysia (UUM) kini berada pada fasa akhir latihan intensif bagi menghadapi Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46 yang bakal berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari 6 hingga 15 Ogos ini.

Kem latihan yang mula berkampung sejak 1 Jun lalu menampilkan pasukan mantap gabungan 12 atlet berwibawa daripada pelbagai pusat pengajian dan jabatan di UUM dan digabungkan bersama dua pegawai yang menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan dan jurulatih bagi melancarkan pengurusan latihan serta memastikan kebajikan, stamina, dan kebajikan emosi para pemain sentiasa terjaga sepanjang tempoh persediaan.

Bagi mengukuhkan corak permainan dan pemantapan corak permainan di atas gelanggang, pihak pengurusan bola jaring turut membawa masuk kepakaran luar sebagai jurulatih tambahan yang berpengalaman di negeri Kedah yang memberi dimensi baharu dari segi taktikal, strategi serangan dan pertahanan.

Bukan sekadar latihan di gelanggang sendiri, persediaan pasukan ini turut diperkemaskan menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan. Pasukan UUM telah menguji keupayaan menentang pelbagai pasukan seperti Kolej Matrikulasi Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan terakhir, berentap bersama Pasukan Bola Jaring SUKMA Kedah.

Siri pendedahan ini bertujuan menguji ketahanan mental pemain, meningkatkan persefahaman taktikal di bawah tekanan perlawanan sebenar, serta menilai pelbagai variasi formasi sebelum aksi sebenar bermula.

Pengurus Pasukan Bola Jaring UUM, Dr. Nor Fauzian Kassim menyatakan bahawa tahap persediaan fizikal dan mental pemain kini sudah mencapai 90 peratus.

“Program latihan berterusan dan pendedahan perlawanan persahabatan sejak Jun lalu direka khas untuk memastikan para atlet mencapai kemuncak prestasi pada masa yang tepat. Kami yakin pasukan ini bersedia membawa nama baik dan reputasi UUM ke gelanggang SUKUM 2026,” katanya.

Memandangkan tarikh kejohanan yang semakin hampir, pengurusan pasukan mengambil pendekatan berwaspada terhadap status kesihatan pemain. Atlet yang mengalami kecederaan ringan diarah fokus kepada proses pemulihan (recovery). Bagaimanapun, latihan taktikal tetap diteruskan mengikut kadar keupayaan (intensity limit) yang dipantau rapi bagi memastikan momentum pasukan tidak terjejas.

Di samping memberi tumpuan kepada aspek fizikal dan strategi permainan, pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan serta memupuk semangat berpasukan turut dianjurkan bagi membina kesepakatan dan persefahaman yang kukuh dalam kalangan ahli pasukan, sama ada di dalam mahupun di luar gelanggang. Antaranya ialah aktiviti berkelah secara santai di tepi Tasik Varsiti berhampiran Inasis Sime Darby bersama bekas pemain bola jaring (alumni) yang pernah mewakili UUM pada tahun-tahun yang lalu.

Semangat pasukan bola jaring UUM terus disemarakkan lagi berikutan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UUM yang disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Martadha Mohamed pada 4 Ogos lalu.

Amanat dan suntikan semangat daripada pengurusan tertinggi universiti itu menaikkan lagi moral para pemain untuk turun berjuang habis-habisan.

Bagi saingan kali ini, pasukan bola jaring UUM meletakkan sasaran pingat emas untuk dibawa pulang ke bumi Sintok atau sekurang-kurangnya berjaya mara ke peringkat separuh akhir. Pasukan dijangka berlepas ke UniSZA pada pagi 6 Ogos untuk memulakan cabaran Kejohanan SUKUM kali Ke-46, 2026. – Naqibah Aminuddin Jafry

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button