Sports

Pasukan Futsal UUM sedia pertahan pingat emas di SUKUM Ke-46 UNISZA 2026

Berita dan gambar Ruzaidi Bin Saad

SINTOK, 9 Ogos 2026: Pasukan Futsal Staf Universiti Utara Malaysia (UUM) kini berada di fasa akhir persiapan menjelang penyertaan dalam Sukan Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46 yang akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu.

Kontinjen futsal UUM dijadualkan bertolak ke UNISZA pada 9 Ogos, manakala saingan acara futsal akan berlangsung dari 12 hingga 15 Ogos 2026.

UUM hadir ke kejohanan kali ini dengan misi mempertahankan pingat emas selepas muncul juara pada SUKUM Ke-45 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2024 serta SUKUM Ke-44 di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2022.

Cabaran kali ini dijangka lebih mencabar apabila UUM diundi dalam Kumpulan D bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan tuan rumah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Setiap perlawanan akan menjadi penentu dalam usaha UUM untuk melangkah ke peringkat seterusnya dan meneruskan misi mempertahankan kejuaraan.

Pasukan Futsal UUM dibarisi 14 pemain, menggabungkan pengalaman pemain senior dan veteran, serta disokong oleh empat orang pegawai. Kontinjen ini diketuai oleh Prof. Madya Mohd. Sobri Don selaku Pengurus Pasukan.

Penolong Pengurus Pasukan Futsal UUM, Ruzaidi Saad berkata, mereka akan berjuang sehingga keringat yang terakhir demi mempertahankan pingat emas buat UUM.

Menurutnya, semua pemain telah memberikan komitmen yang tinggi sepanjang latihan dan mereka yakin dengan semangat berpasukan serta pengalaman yang dimiliki mampu memberikan saingan terbaik untuk membawa pulang kejuaraan sekali lagi.

Dengan gabungan pengalaman, disiplin dan semangat juang tinggi, skuad futsal UUM bertekad untuk mencipta sejarah dengan mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia di pentas SUKUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button