“MENULIS DENGAN JIWA” SEMAI PENGHAYATAN PENERBITAN ILMIAH DALAM KALANGAN PENSYARAH PTSS
Gambar oleh: Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC)
PAUH – Penerbitan ilmiah merupakan amanah kesarjanaan untuk menyebarkan ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan generasi akan datang. Penghayatan tersebut menjadi inti pati perkongsian Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Universiti Utara Malaysia (UUM), kepada 20 peserta dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) menerusi Seminar “Menulis dengan Jiwa” baru-baru ini.

Dalam perkongsian itu, beliau menekankan tanggungjawab pensyarah untuk menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penulisan yang boleh diakses, dinilai dan dikembangkan oleh komuniti ilmu.
Penerbitan turut diketengahkan sebagai penghubung antara penyelidikan dengan keperluan masyarakat dan industri, selain menjadi rekod sumbangan intelektual yang boleh dirujuk merentas generasi.
Mohammad Azam turut menghuraikan hubungan antara kegiatan penyelidikan dan penerbitan dengan peningkatan kualiti pengajaran serta penyeliaan memandangkan dapatan kajian dan perkembangan ilmu terkini dapat memperkaya kandungan kuliah, menggalakkan perbincangan kritis serta membantu pensyarah membimbing penulisan pelajar dengan lebih berstruktur.
Malah beliau turut mengulas cabaran dalam penulisan termasuk kekangan masa, beban tugas, kos penerbitan serta proses penilaian dan penolakan manuskrip sebagai antara perkara yang perlu ditangani melalui perancangan yang teratur.

Antara langkah yang dikongsikan dalam seminar berkenaan adalah dengan memperuntukkan masa khusus untuk menulis, menetapkan sasaran kecil secara berperingkat dan membina kolaborasi penulisan. Hasil penyeliaan, termasuk projek tahun akhir, juga boleh dikembangkan menjadi artikel jurnal bersama pelajar.
Seminar setengah hari itu turut memberi tumpuan kepada peranan penerbitan ilmiah dalam kerjaya pensyarah serta sumbangannya terhadap perkembangan ilmu, kualiti pengajaran dan kesejahteraan masyarakat. – Suhailawati Mohd Shamsudin



