Tiga Universiti Awam Malaysia Perkukuh Agenda Pengantarabangsaan Melalui Kolaborasi Akademik dan Penyelidikan di UNIDA Gontor, Indonesia
Berita dan gambar oleh: Dr. Norwahida binti Yakub @ Yaakub
PONOROGO, 26 Jun 2026 – Delegasi akademik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjayakan lawatan Kolaborasi Akademik dan Penyelidikan ke Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor, Indonesia selama enam hari, bermula 21 hingga 26 Jun 2026.
Program ini bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti antarabangsa serta pembangunan Occupational Safety and Health (OSH). Program dimulakan dengan sesi rasmi di UNIDA Gontor yang menampilkan tayangan video korporat universiti, diikuti ucapan alu-aluan oleh Vice Rector, Chief of BKUI dan Vice Dean Fakulti Ilmu Kesihatan (FIK).

Sesi tersebut turut memberi peluang kepada setiap universiti memperkenalkan institusi, program akademik, bidang kepakaran serta kekuatan penyelidikan masing-masing sebagai asas kepada kerjasama strategik pada masa hadapan, termasuk perbincangan mengenai pelaksanaan International Global Class bagi memperkukuh agenda pengantarabangsaan.
Program diteruskan dengan sesi Presentation of Joint Research Findings and Discussion of Potential Collaboration yang menghimpunkan wakil UNIDA, UUM, UMPSA dan UPM. Sesi ini melibatkan pembentangan hasil penyelidikan bersama, perkongsian mengenai International Joint Research Program oleh Dr. Alif Cahya, Ketua LPI UNIDA, serta pembentangan International Community Service Program oleh Ketua LPM UNIDA.

Perbincangan strategik yang berlangsung membuka ruang kerjasama dalam penyelidikan, penerbitan bersama, mobiliti pelajar dan staf, pembangunan projek serta geran penyelidikan antarabangsa.
Delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke Pondok Moden Darussalam Gontor dan berpeluang bertemu Kyai Haji Ahmad Sahal, pelopor sistem pendidikan moden Gontor, selain mengadakan lawatan ke Kampus UNIDA Gontor dan Gontor 1 bagi meninjau model pendidikan pesantren yang menggabungkan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah dan kepimpinan.
Acara kemuncak adalah OSH Expert Joint Seminar 2026 yang menghimpunkan pakar akademik dari Malaysia dan Indonesia. Seminar tersebut menampilkan pembentangan oleh Dr. Mohd Shahril Abu Hanifah, Dr. Ayuni, Puan Nur Fazhilah dan Dr. Azim Azuan Osman.

UUM turut mencipta pencapaian apabila dua orang akademik dijemput sebagai keynote speaker, iaitu Dr. Norwahida Yaakub (UUM Kuala Lumpur) yang menyampaikan syarahan bertajuk Creating a Safe Laboratory Culture and ISO/IEC 17025 in Higher Education serta Dr. Azim Azuan Osman dari School of Technology Management and Logistics (STML), UUM yang membentangkan Lean Management for Safer Workplaces: Applying the 8 Wastes Framework into Occupational Safety and Health.
Delegasi turut membentangkan hasil Geran Penyelidikan Bersama UMPSA–UNIDA yang diketuai oleh Dr Norwahida Yaakub dahulu melalui sesi Presentation of UMPSA–UNIDA Grant Findings – SAM-iSAFE, disusuli demonstrasi penggunaan aplikasi tersebut kepada warga UNIDA.
Program diakhiri dengan lawatan ke Makmal Integrasi, Kampus Putri 2 UNIDA Gontor di Mantingan, di mana Dr. Norwahida Yaakub berkongsi amalan terbaik dalam pembudayaan keselamatan makmal serta perbincangan berkaitan ISO/IEC 17025 di institusi pengajian tinggi.

Beliau turut dijemput memberikan pandangan profesional dan cadangan penambahbaikan terhadap Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan pengurusan risiko di makmal UNIDA.
Sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial (CSR), delegasi turut memperkenalkan aplikasi SAM-iSAFE kepada warga pesantren bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH). Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara UUM, UMPSA, UPM dan UNIDA Gontor, malah membuka peluang yang lebih luas dalam penyelidikan bersama, mobiliti akademik, pembangunan program antarabangsa serta pemindahan kepakaran dan teknologi di peringkat serantau.


