Campus
Aroma kreativiti menggegarkan STHEM: Apabila Mi & Teh Tarik bertukar jadi seni di ‘Battle of Flavours’!
Berita dan gambar oleh: Dr. Noor Amalina Mat Yusof
SINTOK, 14 Jun 2026 – Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program “Battle of Flavours: Thong Guan x STHEM”, sebuah program kolaborasi strategik bersama penaja utama, Syarikat Thong Guan Trading Sdn Bhd (STGT).
Program yang berlangsung selama satu hari ini berjaya menghimpunkan 42 orang peserta pertandingan kulinari, ratusan pengunjung menghadiri program perkongsian ilmu, serta menikmati suasana fiesta makanan yang cukup meriah.

Para peserta telah bersaing sengit dalam dua kategori utama iaitu The Tea Dessert Showdown iaitu kategori yang menilai hidangan pencuci mulut berasaskan produk Teh 888 Noodle Masterpiece Challenge iaitu kategori yang menuntut peserta menyediakan hidangan mi inovatif bertemakan ‘Makanan Malaysia’ dengan menggunakan produk tajaan STGT.
Pentas pertandingan kali ini tampil sangat meriah dan kompetitif apabila ia menjadi medan pertembungan unik yang disertai oleh gabungan pelajar UUM, pelajar Kolej Vokasional Kangar, juri dan chef profesional dari Langkawi (termasuk wakil dari Airport Langkawi), serta penyertaan aktif daripada komuniti.
Penglibatan peserta daripada pelbagai sektor ini secara tidak langsung telah meletakkan tanda aras yang sangat tinggi kepada kualiti hidangan dan penjurian.
Selain itu, suasana di perkarangan bangunan STHEM bertukar ceria dan meriah dengan kehadiran kaunter minuman percuma (free-flow) tajaan Syarikat Thong Guan Trading Sdn Bhd serta reruai jualan pastri premium daripada Flour Crown Patisseries and Café, yang bukan sahaja berjaya memikat selera dan menghilangkan dahaga para pengunjung, malah menjadi antara pusat tarikan utama (hotspot) sepanjang program berlangsung.

Selain kehangatan di dapur, Sesi Perkongsian Ilmu turut menyuntik inspirasi menerusi slot bersama tokoh wanita industri makanan.
Puan Tan Wei Wei (Pengurus Operasi STGT) berkongsi formula kepimpinan yang berjaya melonjakkan hasil tahunan syarikat daripada RM7 juta kepada melebihi RM100 juta, manakala Puan Wan Aifaa Shafia (Pengasas Flourcrown Baking Studio) memukau hadirin dengan kisah pengalaman berharga beliau menimba ilmu kulinari global di Amerika Syarikat, Jepun, Paris, dan Korea.
Di sebalik tabir kelancaran program berskala besar ini, pujian harus diberikan kepada barisan pensyarah Program Pengurusan Hospitaliti dengan bantuan pelajar kursus Prinsip Penyediaan Makanan (Kumpulan C). Mereka bertindak sebagai penggerak utama yang memastikan setiap aspek teknikal, kebajikan peserta, pengurusan vendor, dan protokol majlis berjalan tanpa cacat cela.
Menurut Prof. Madya Dr. Basri Rashid selaku Penasihat Program, impak terbesar acara ini adalah memberi peluang kepada pelajar untuk keluar dari zon teori kuliah.
“Melalui pertandingan ini, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana produk industri sebenar dipasarkan, diuji, dan diinovasikan. Malah, interaksi langsung dengan penggiat industri memberi mereka peluang membina jaringan profesional (networking) sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” ulas beliau.



