Berita dan gambar oleh: Dr. Muhammad Nazrul Bin Abd Rani
SINTOK, 24 Jun 2026 β Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program βIn Session with Current Law Journal (CLJ)β bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai penggunaan pangkalan data perundangan secara efektif dalam pembelajaran, penyelidikan dan amalan profesional.
Program yang dikendalikan oleh kumpulan editor Current Law Journal (CLJ) itu melibatkan penyertaan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B.) serta Program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (BPLB).

Sepanjang sesi, para peserta diberikan penerangan mengenai fungsi dan kemudahan yang disediakan melalui portal CLJ, termasuk kaedah mencari dan mengakses kes-kes mahkamah, statut, perundangan subsidiari, artikel perundangan serta bahan rujukan lain yang menjadi sumber penting dalam pengajian dan penyelidikan undang-undang.
Selain itu, wakil CLJ turut mengadakan demonstrasi secara langsung mengenai teknik carian yang lebih sistematik dan efisien, penggunaan kata kunci yang tepat, serta kaedah menapis keputusan carian bagi membantu pelajar mendapatkan sumber perundangan yang relevan.
Pendedahan ini diharap dapat meningkatkan kemahiran penyelidikan undang-undang dalam kalangan pelajar serta menggalakkan penggunaan sumber perundangan yang berautoriti.

Program tersebut turut dihadiri oleh Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang, Profesor Dr. Harlida Abdul Wahab, bersama para pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang UUM yang turut mengikuti sesi perkongsian tersebut.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Pusat Pengajian Undang-Undang UUM dalam memperkukuh kompetensi penyelidikan pelajar melalui penguasaan sumber perundangan digital yang menjadi keperluan penting dalam pendidikan undang-undang dan profesion guaman.
Sesi ini juga diharap dapat membantu pelajar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pangkalan data CLJ sebagai salah satu sumber rujukan utama dalam pengajian dan penyelidikan mereka.



