Campus

Chop & Co rangkul anugerah emas kategori zon EKSA

SINTOK, 3 Disember 2024: Kumpulan Chop & Co daripada Zon 5 (Meranti), EKSAberjaya merangkul Anugerah Emas dalam pertandingan inovasi iDIGITAL 2024 bagi projek Sistem Penjanaan Dokumen Rasmi Elektronik TISSA-UUM (TISSA eDOCS).

Kumpulan tersebut diketuai Dr. Mohd Hadzrami Harun Rasit bersama Yusuf Lazim, Dr. Nor Atikah Shafai, Norazliza Ahmad, dan Norhafizatul Mat Hashim.

Mohd Hadzrami berkata, TISSA eDOCS adalah langkah strategik ke arah memodenkan proses pentadbiran.

“Sistem ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos, tetapi juga menyokong kelestarian alam sekitar dan meningkatkan keselamatan dokumen. Inisiatif ini selaras dengan matlamat transformasi digital dan kecemerlangan operasi dalam organisasi,” ujarnya.

Jelasnya, TISSA eDOCS bertujuan untuk menggantikan proses manual menggunakan Microsoft Word dengan sistem automatik yang menghasilkan surat rasmi dalam format PDF.

“Pada masa ini, penyediaan dan pengeluaran surat rasmi termasuk bagi tujuan surat lantikan jawatankuasa pusat pengajian, penyelaras kursus, penilai dalaman dan juga surat peringatan ketidakhadiran pelajar menggunakan Microsoft Word.

“Surat tersebut akan dicetak dan diserahkan kepada penerima yang terlibat. Sistem ini akan memudahkan penyediaan, pengedaran dan pengarkiban surat rasmi secara digital.

Ujarnya, sistem ini mempunyai empat objektif iaitu meningkatkan kecekapan dan penjimatan masa, mengurangkan kesilapan manusia dan memastikan konsistensi dalam dokumen dan menjimatkan kos operasi dengan mengurangkan penggunaan kertas.

“Sistem ini dibangunkan menggunakan PHP dan pangkalan data MySQL. Proses pembangunan melibatkan fasa perancangan keperluan, reka bentuk pengguna, pembinaan, dan pemotongan. Sistem ini akan dihoskan di webhosting untuk akses mudah dan cepat,” katanya.

Manakala Penerima Anugerah Perak terdiri daripada Kumpulan QR SQUAD daripada Zon 4, U-Assist, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan projek, Aplikasi Penanggungjawab Lokasi di U-Assist (U-ASSIST QR SQUAD), Kumpulan VHajj SCIMPA, daripada Zon 1, dengan projek (Virtual Hajj Apps) dan kumpulan IMBRAVO, Pusat Kajian Kes Pengurusan Dan Kepimpinan (PKKPK), daripada Zon 5, bagi projek – Case Study Digitalised Repository (CDR).

Seterusnya Anugerah Gangsa dimenangi oleh Kumpulan Dynamic Warrior daripada Zon 4, Jabatan Sumber Manusia dengan projek, Sistem Hebahan Kematian Digital Pintar” (SIHAT).

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato Dr. Mohd Foad Sakdan menyampaikan hadiah kepada para pemenang sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.

Beliau berkata, iDIGITAL 2024 merupakan pertandingan inovasi yang dianjurkan oleh Pusat Inovasi & Pengkomersialan (ICC) bagi menyokong komponen Inovasi bagi Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), UUM dalam menggalakkan persekitaran inovatif dan kreatif di pejabat.

Pertandingan dan sesi ‘pitching’ yang melibatkan 24 kumpulan berlangsung secara dalam talian melibatkan dua kategori iaitu Kategori EKSA (terbuka kepada kumpulan di dalam Zon EKSA UUM sahaja) dan Kategori R&D iaitu penyertaan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dari seluruh negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button