Campus

Dekan SMMTC UUM Teraju Majlis Dekan Komunikasi dan Media Malaysia (MDKOM)

Berita dan gambar oleh: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)

PUTRAJAYA, 24 Jun 2026: Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad telah melakar sejarah apabila dipilih sebagai Pengerusi Majlis Dekan Komunikasi dan Media Malaysia (MDKOM).

Pelantikan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Pertama MDKOM yang berlangsung pada hari ini bertempat di Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Mesyuarat bersejarah ini telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Erfy Ismail, yang menjalankan tugas Pengarah di Bahagian Kecemerlangan Akademik, JPT.

Turut membarisi tampuk kepimpinan utama MDKOM yang baharu dibentuk ini ialah Timbalan Pengerusi, Prof. Dr. Md Azalanshah Md Syed (Universiti Malaya) manakala Setiausaha pula ialah Prof. Madya Dr. Bahiyah Omar (Universiti Sains Malaysia).

Pertemuan strategik di KPT ini telah dihadiri oleh 12 orang Dekan, Ketua Jabatan, dan Pengerusi Program dari pelbagai universiti awam seluruh negara yang menawarkan program pengajian komunikasi dan media.

Penubuhan MDKOM merupakan satu usaha pembaharuan yang sangat dinantikan oleh ahli akademik bidang komunikasi tanah air. MDKOM pada asalnya bermula sebagai Council for Heads of Communication Malaysia (COHECS), sebuah badan yang mewakili ketua-ketua pengajian komunikasi dan media di Malaysia. Walau bagaimanapun, pergerakan COHECS dilaporkan telah menjadi tidak aktif selepas tahun 2010.

Menyedari keperluan mendesak untuk menyatukan kembali hala tuju pendidikan komunikasi negara, Malaysian Association of Communication Educators (MACE) telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan siri perbincangan. Hasil daripada perbincangan konstruktif tersebut, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPT telah mengarahkan agar COHECS diaktifkan semula dengan dijenamakan secara rasmi sebagai MDKOM.

Objektif utama penubuhan MDKOM adalah untuk menjadikannya sebagai sebuah platform penyelarasan strategik yang holistik. Ia bertujuan untuk memacu pembangunan, merangka dasar, dan meningkatkan kualiti pendidikan komunikasi serta media di Malaysia agar sentiasa relevan dengan perkembangan pesat teknologi dan kehendak industri semasa.

Dengan barisan kepimpinan yang baharu dilantik, MDKOM dijangka akan membawa dimensi baharu dalam memperkasa bidang komunikasi dan media di peringkat universiti awam secara khususnya, dan landskap pendidikan tinggi negara secara amnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button